PENUMPANG memakai pakaian perlindungan diri ketika tiba di Lapangan Terbang Tullamarine, Melbourne. FOTO AFP
PENUMPANG memakai pakaian perlindungan diri ketika tiba di Lapangan Terbang Tullamarine, Melbourne. FOTO AFP
Agensi

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkaji sama ada varian Omicron mempunyai kesan ke atas jenis ujian lain walaupun ia dapat dikesan menerusi RT-PCR.

Ia selepas badan dunia itu mengisytiharkan Omicron yang pertama kali dikesan awal bulan ini di Afrika sebagai varian membimbangkan (VOC), lapor AFP.

Klasifikasi itu meletakkan Omicron ke dalam kategori varian Covid-19 paling membimbangkan bersama dengan Delta yang dominan di seluruh dunia serta varian Alpha, Beta dan Gamma.

"Ujian PCR digunakan secara meluas terus mengesan jangkitan, termasuk Omicron, seperti yang kita lihat dengan varian lain.

"Kajian dijalankan untuk menentukan sama ada terdapatkesan ke atas jenis ujian lain, termasuk ujian pengesanan antigen pantas," kata WHO.

Omicron tersebar di seluruh dunia pada Ahad lalu, menyebabkan banyak negara kembali menutup sempadan dan mengenakan sekatan.

Ia menyebabkan timbul keraguan terhadap usaha global untuk memerangi wabak itu kerana kebimbangan penularannya menyebabkan langkah sekatan yang diharapkan sudah berlalu dilaksanakan kembali.

Menurut WHO, belum jelas sama ada Omicron merebak dengan lebih mudah dari seorang individu kepada individu lain.

Ia termasuk sama ada jangkitan dengan varian itu menyebabkan penyakit yang lebih teruk berbanding dengan yang lain.

"Pada masa ini tiada maklumat untuk mencadangkan bahawa gejala yang dikaitkan dengan Omicron adalah berbeza daripada varian lain," kata agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 6:30 PM