ORANG ramai memakai pelitup muka ketika berjalan-jalan di Manhattan, New York. FOTO AFP
ORANG ramai memakai pelitup muka ketika berjalan-jalan di Manhattan, New York. FOTO AFP
AFP

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa varian Covid-19 Omicron baharu menimbulkan risiko 'sangat tinggi' di seluruh dunia.

Setakat ini tahap bahaya dan penularannya belum dapat dipastikan, lapor AFP.

Menurutnya, varian berkenaan sangat berbeza dengan bilangan mutasi yang tinggi dan beberapa daripadanya membimbangkan, mungkin dikaitkan dengan potensi serta kebolehjangkitan yang lebih tinggi.

Sehingga kini, tiada kematian yang dikaitkan dengan varian Omicron dilaporkan.

Walaupun varian baharu itu tidak terbukti lebih berbahaya daripada yang sebelumnya, jika ia merebak dengan lebih mudah, sudah pasti mencetuskan lebih banyak kes dan tekanan pada sistem kesihatan yang menyebabkan banyak kematian

"Kemungkinan potensi penyebaran lanjut Omicron di peringkat global adalah tinggi.

"Jika satu lagi lonjakan besar Covid-19 berlaku didorong oleh Omicron, akibatnya mungkin teruk," katanya.

WHO turut membuat kesimpulan bahawa risiko global keseluruhan yang berkaitan dengan varian yang membimbangkan (VOC) Omicron baharu dinilai sebagai sangat tinggi.

Badan kesihatan dunia itu berkata, negara-negara harus meningkatkan pengawasan mereka mengenai varian itu.

Negara-negara juga digalakkan untuk cuba mendapatkan gambaran yang jelas di mana dan berapa pantas ia merebak.

Selain itu, program vaksinasi perlu dipercepatkan terutamanya dalam kalangan populasi terdedah yang masih belum menerima sebarang suntikan.

Bagaimanapun, semua negara diberi amaran supaya tidak menyekat perjalanan dari negara di mana varian baharu mula-mula dikesan kerana ia tidak adil dan menghalang pengawasan.

"Dengan varian Omicron kini dikesan di beberapa wilayah di dunia, mengenakan larangan perjalanan yang menyasarkan Afrika memberi kesan kepada perpaduan global," kata pengarah wilayah WHO, Matshidiso Moeti.

Senarai negara yang mengenakan sekatan perjalanan di selatan Afrika semakin meningkat termasuk United Kingdom, Indonesia, Kuwait, Belanda, Qatar, Arab Saudi dan Amerika Syarikat.

Wabak berkenaan mula dikesan di Afrika Selatan dan menimbulkan kebimbangan di banyak negara yang mula meneliti semula proseDur operasi standard (SOP) sedia ada.

Ada negara yang menarik balik kemudahan pelancongan yang sudah dirancang kerana bimbang ia akan mencetuskan peningkatan jangkitan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 11:31 AM