GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

London: Pemilik hartanah di United Kingdom, diarahkan membayar 3,750 Pound Sterling (RM21,148.09) termasuk denda, kos pendakwaan dan pampasan selepas mengusir seorang wanita hamil dan pasangannya dari bilik sewa mereka.

Lidia Szopinska, dari Arlington Road, Camden, menyewakan sebuah bilik dalam rumah yang dimilikinya di Townsend Street, Cheltenham kepada Demi-Leigh Shaw dan Silas Morphew selama sembilan bulan, bermula Mei 2019.

Menurut jurucakap Majlis Daerah Cheltenham, hubungan antara pemilik serta penyewa bertambah buruk apabila pasangan itu memaklumkan mereka mahu keluar awal.

"Pasangan itu bersetuju untuk meninggalkan hartanah itu pada 19 Ogos 2019 tetapi selepas pulang dari melawat saudara-mara, mereka mendapati barangan mereka berada di jalan pada 14 Julai 2019 dan tuan rumah juga ada pada ketika itu.

"Adalah menjadi satu kesalahan jenayah di bawah Akta Perlindungan daripada Pengusiran 1977 bagi mana-mana orang untuk mengganggu ketenteraman atau keselesaan penghuni kediaman atau ahli rumahnya, atau terus-menerus menarik balik atau menahan perkhidmatan yang diperlukan secara munasabah untuk menduduki premis itu," katanya seperti dilaporkan Daily Mirror.

Dalam perbicaraan pada 8 November lalu, Majistret Cheltenham memutuskan Szopinska, 57, bersalah kerana mengusir pasangan itu secara tidak sah.

Szopinska didenda 180 Pound Sterling (RM1,015.11) dan diperintahkan membayar sejumlah 2,010 Pound Sterling (RM11,335.38) untuk kos pendakwaan.

Dia juga diperintahkan untuk membayar pampasan sebanyak 780 Pound Sterling (RM4,398.80) kepada setiap seorang kepada Morphew dan Shaw.

Ia atas kesulitan akibat pengusiran itu, tidak mengembalikan deposit, pembayaran balik sewa dan kehilangan beg yang mengandungi komputer riba dan barang-barang penting lain yang dicuri daripada di luar hartanah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 4:05 PM