SEORANG individu melalui pusat ujian saringan Covid-19 di Berlin. FOTO EPA
SEORANG individu melalui pusat ujian saringan Covid-19 di Berlin. FOTO EPA
AFP

Berlin: Ibu negara Jerman, Berlin mula mengetatkan sekatan kepada mereka yang tidak divaksinasi dengan mengehadkan akses mereka ke restoran, gimnasium, bar dan salun rambut, mulai Isnin ini.

Ia sebagai usaha membendung peningkatan kes jangkitan Covid-19, lapor AFP.

Di bawah peraturan baharu negara itu, mereka yang diberi vaksin sepenuhnya dan menunjukkan bukti pemulihan daripada Covid-19 boleh memasuki kemudahan riadah dan senarai tempat terpilih lain yang dikenali sebagai sistem 2G.

Tindakan itu sebagai langkah susulan kes baharu yang semakin meningkat dan jumlah pesakit yang memberi tekanan kepada unit rawatan rapi.

Teater, muzium dan acara luar dengan lebih daripada 2,000 pengunjung seperti bola sepak akan dilarang kepada orang dewasa yang tidak divaksinasi.

Langkah-langkah yang dipersetujui oleh senat Berlin adalah antara yang paling sukar di Jerman, ketika kes baharu semakin melonjak beberapa hari kebelakangan ini.

Negara itu menambah hampir 40,000 kes pada Rabu, tertinggi setakat ini, menurut Institut Robert Koch (RKI).

Di bawah sistem persekutuan Jerman, 16 negeri serantaunya mempunyai kuasa besar untuk mengambil pendekatan Covid-19 sendiri.

Saxony, negeri yang terjejas teruk memperkenalkan langkah 2G yang lebih ketat awal minggu lalu, manakala negeri lain termasuk Bavaria dan Baden-Wuerttemberg juga memperkenalkan sekatan yang lebih ketat kepada individu tidak divaksinasi.

Keadaan menjadi semakin buruk selepas pilihan raya umum September lalu.

Canselor Angela Merkel yang kekal memegang jawatan buat masa ini, menggesa mesyuarat segera antara kerajaan persekutuan dan pemimpin wilayah untuk bersetuju dengan langkah yang diselaraskan.

"Virus itu tidak peduli sama ada kita mempunyai kerajaan sementara atau kita berada di tengah-tengah rundingan gabungan," katanya pada sidang media.

Dia turut memberikan amaran bahawa kadar vaksin di Jerman ketika ini tidak cukup untuk menghalang penyebaran virus yang cepat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 10:21 AM