MOLNUPIRAVIR
MOLNUPIRAVIR
Agensi

London: Molnupiravir yang dibangunkan oleh syarikat ubat Amerika Syarikat (AS) Merck, Sharp and Dohme (MSD) dan Ridgeback Biotherapeutics adalah ubat antivirus pertama untuk Covid-19 yang boleh diambil sebagai pil dan bukannya disuntik atau diberikan secara intravena.

BBC melaporkan United Kingdom (UK) bersetuju untuk membeli 480,000 pil dengan penghantaran pertama dijangka pada bulan ini.

Pada mulanya, ia akan diberikan kepada kedua-dua golongan pesakit sama ada sudah divaksin atau belum divaksin melalui kajian nasional dengan data tambahan mengenai keberkesanannya dikumpul sebelum sebarang keputusan untuk pemesanan lebih banyak.

Ubat perlu diberikan dalam tempoh lima hari selepas gejala sebagai langkah lebih berkesan.

Bagaimanapun, tiada penjelasan lanjut bagaimana ia akan diedarkan dengan pantas oleh Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).

Difahamkan beberapa rumah jagaan mungkin ditawarkan bekalan pil itu, manakala pesakit tua atau lain mungkin diberi preskripsi oleh pakar perubatan selepas mereka diuji positif untuk Covid-19.

Rawatan baharu itu menyasarkan enzim yang digunakan Covid-19 untuk membuat salinan virus dan membuatkan ada kesilapan di dalam kod genetiknya.

Itu sepatutnya menghalang virus itu daripada membiak dan mengekalkan tahap virus yang rendah dalam badan serta mengurangkan kesan teruk penyakit.

Merck berkata, pendekatan itu harus menjadikan rawatan itu sama berkesan terhadap varian baharu virus semasa ia berkembang pada masa depan.

Pengawal selia UK, Agensi Pengawal Selia Produk Perubatan dan Penjagaan Kesihatan (MHRA) berkata, pil itu dibenarkan untuk digunakan kepada pesakit yang mempunyai Covid-19 dengan simptom ringan hingga sederhana dan sekurang-kurangnya satu faktor risiko untuk mendapat penyakit teruk seperti obesiti, sakit tua, diabetes atau penyakit jantung.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 7:01 AM