Seorang lelaki memakai pelitup muka berjalan di pusat bandar Moscow. Rusia antara negara di Eropah paling terjejas akibat Covid-19 dengan angka kematian harian melebihi 1,000. - FOTO AFP
Seorang lelaki memakai pelitup muka berjalan di pusat bandar Moscow. Rusia antara negara di Eropah paling terjejas akibat Covid-19 dengan angka kematian harian melebihi 1,000. - FOTO AFP
AFP

Moscow: Rusia hari ini menutup kedai, sekolah dan restoran selama 11 hari untuk membendung jangkitan dan kematian akibat Covid-19 selepas program vaksinasi yang dilaksanakan terlalu perlahan.

Kesemua perkhidmatan tidak penting termasuk kedai runcit, restoran dan tempat sukan serta hiburan akan ditutup sehingga 7 November ini, termasuk sekolah serta tadika.

Hanya kedai yang menjual makanan, ubatan dan premis penting lain akan kekal dibuka kerana pihak berkuasa mahu mengekang gelombang Covid-19 yang mana kadar jangkitan serta kematian mencipta rekod baharu.

Rusia menjadi antara negara yang paling buruk dilanda pandemik itu dengan 230,000 kematian dilaporkan, namun pihak berkuasa tidak melaksanakan penutupan tegas seperti yang dilakukan negara Barat lain.

Kerajaan Presiden Vladimir Putin mengharapkan vaksin mereka, Sputnik V, tetapi penduduk Rusia berdegil enggan menerima suntikan berkenaan.

Laman Gogov melaporkan, sehingga semalam, hanya 32 peratus penduduk Rusia sudah divaksin sepenuhnya.

Jalan raya di Moscow kurang sesak berbanding kebiasaan, namun rangkaian Metro sibuk seperti biasa, dengan kebanyakan penumpang tidak memakai pelitup muka.

Putin minggu lalu mengarahkan cuti berbayar di seluruh negara antara 30 Oktober dan 7 November bagi membendung jangkitan yang semakin meningkat dan pihak berkuasa mengarahkan penutupan perkhidmatan tidak penting di Moscow mulai hari ini.

Pihak berkuasa tidak mewajibkan penduduk Russia untuk berada di rumah ketika bukan tempoh waktu kerja dan ramai merancang menggunakan hari cuti itu untuk berjalan-jalan baik di dalam atau luar negara.

Datuk Bandar Sochi yang menempatkan resort Laut Hitam turut mengeluarkan amaran pertambahan pelancong dan permintaan penerbangan dari Rusia ke Turki dan Mesir juga melonjak tinggi.

Semalam, Rusia merekodkan 1,123 kematian akibat Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan 233,898 kematian, tertinggi di Eropah.

Negara itu juga mencatat angka rasmi 8.3 juta kes jangkitan, namun pakar bebas mendakwa jumlah itu sebenarnya dikurangkan.

Jumlah yang dilaporkan agensi statistik Rosstat pada Oktober pula mendakwa lebih 400,000 kematian sudah berlaku akibat Covid-19.

Selepas beberapa bulan diletakkan di bawah perintah berkurung sejak awal pandemik, pihak berkuasa Rusia enggan melaksanakan lagi sekatan yang boleh mencederakan ekonomi negara, sebaliknya mahukan rakyatnya divaksin.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, pihak berkuasa tidak merancang untuk mewajibkan suntikan vaksin Covid-19 untuk semua individu, walaupun berdepan peningkatan kes baru dan kadar vaksinasi yang rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 7:39 PM