WAD menempatkan pesakit Covid-19 di sebuah hospital di Moscow, Rusia. FOTO AFP
WAD menempatkan pesakit Covid-19 di sebuah hospital di Moscow, Rusia. FOTO AFP
Agensi

Moscow: Rusia kembali mengetatkan sekatan mulai minggu ini selepas program vaksinasi yang perlahan serta sistem kesihatan yang teruk ketika pandemik Covid-19 berterusan.

Selasa lalu, datuk bandar Moscow memerintahkan semua penduduk berusia 60 tahun di bandar itu yang tidak divaksin dan mempunyai penyakit kronik untuk tinggal di rumah selama empat bulan sehingga Februari, lapor CNN.

Presiden Vladimir Putin pada Rabu lalu juga bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan untuk mengisytiharkan cuti dari 30 Oktober hingga 7 November di negara itu.

Pegawai kanan di negara itu mengakui secara terbuka mengenai keadaan yang semakin buruk ketika negara itu menghampiri musim sejuk.

Negara kuasa besar itu merekodkan kes harian dan kematian tertinggi dalam beberapa hari kebelakangan ini dengan 1,028 kematian pada Rabu.

Pakar berkata, program vaksinasi belum mencapai matlamat dan ia menjadi punca kepada lonjakan kes.

"Saya rasa negara ini sudah ditimpa bencana. Saya harap kita akan segera mencapai suatu tahap biasa, tetapi kadar kematian masih tinggi," kata pakar, Vasily Vlassov.

Beliau turut meramalkan kematian akan terus meningkat sebelum akhir tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 6:30 AM