MARGARET Keenan individu pertama di UK disuntik dos penggalak Jumaat lalu. FOTO agensi
MARGARET Keenan individu pertama di UK disuntik dos penggalak Jumaat lalu. FOTO agensi

London: Seorang wanita yang menjadi individu pertama di dunia yang disuntik dengan vaksin Covid-19 Pfizer menjadi orang pertama di United Kingdom (UK) menerima dos penggalak di negara itu.

Margaret Keenan, 91, dari Coventry, menerima suntikan dos ketiga vaksin sama di University Hospital di bandar itu pada Jumaat lalu iaitu lokasi sama dia menerima dos pertama vaksin Covid-19.

Katanya, dia gembira dan lebih baik selepas berjaya menerima suntikan berkenaan selain menggalakkan orang ramai mengikuti jejak langkahnya itu.

Dia turut memberi nasihat kepada mereka yang bimbang mengambil vaksin.

"Hanya beberapa saat diperlukan untuk vaksin, ia menyelamatkan nyawa mereka dan keluarga mereka.

"Apabila kamu sudah ambil vaksin, kamu akan rasa seperti orang berbeza kerana ia membantu diri dan orang lain," katanya dalam portal BBC News.

Selain itu, Matron May Parsons yang menyuntik Keenan pada kali pertama Disember lalu, turut menerima dos penggalak.

Setakat ini, UK merekodkan pemberian lebih 48 juta dos pertama vaksin Covid-19,

Dos penggalak ditawarkan kepada mereka yang berusia lebih 50 tahun, orang muda yang mempunyai masalah kesihatan serta petugas barisan hadapan.

Ia disyorkan Jawatankuasa Bersama Vaksin dan Imunisasi (JCVI) kerana kebimbangan penurunan imuniti. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 6:55 AM