Kereta kebal Panther era Perang Dunia Kedua ketika dipindahkan daripada kediaman lelaki 84 tahun di Heikendorf, Jerman. FOTO Arsten Rehder FOTO Getty Images
Kereta kebal Panther era Perang Dunia Kedua ketika dipindahkan daripada kediaman lelaki 84 tahun di Heikendorf, Jerman. FOTO Arsten Rehder FOTO Getty Images
Agensi

Berlin: Seorang pesara di Jerman dalam 'peperangan' dengan pihak berkuasa negara itu selepas polis menemui kereta kebal Panther yang digunakan ketika Perang Dunia Kedua, senjata antipesawat dan torpedo di ruang bawah tanah kediamannya.

Pendakwaan ke atas lelaki berusia 84 tahun itu bermula selepas penemuan alat pertahanan berkenaan pada 2015 dan kes dijangka selesai pada Ogos ini.

Pasukan pendakwaan dan peguam mewakili warga emas dalam rundingan bagi hukuman ke atas tertuduh, yang termasuk denda sehingga €500,000 (RM2,510,814.51).

Perdebatan timbul sama ada pengumpul peralatan ketenteraan itu melanggar Akta Pengawalan Senjata Perang Jerman.

Pembelaan mendakwa semua senjata itu sudah tidak lagi berfungsi, jadi ia tidak melanggar undang-undang dan warga emas terbabit sekadar boleh dihukum denda €50,000 (RM251,081.45), menurut laporan RT-DE yang dipetik Insider.

Namun, pendakwaan mencabar hujah itu dengan memaklumkan semua senjata berkenaan berkemungkinan masih boleh digunakan lagi.

Menurut peguam, sebuah muzium Amerika Syarikat (AS) berminat untuk membeli kereta kebal itu manakala pengumpul barangan ketenteraan mahukan koleksi 70 senapang dan pistol kepunyaan defendan, lapor akhbar Die Welt.

Semua senjata yang tersimpan di ruang bawah tanah kediaman pesara ditemui selepas pihak berkuasa tempatan dimaklumkan mengenai kandungan bahan perang ketika mencari bangunan untuk kesenian era-Nazi, menurut BBC.

Ia mengambil masa sembilan jam dengan kekuatan 20 tentera untuk mengeluarkan semua peralatan ketenteraan daripada rumah warga emas itu yang tidak dinamakan di Heikendorf, pinggir Kiel, utara Jerman.

Turut terdapat koleksi cenderahati Nazi antaranya termasuk patung Hitler, seragam Nazi dan loket swastika.

Ketika serbuan itu, Datuk Bandar Heikendorf, Alexander Orth berkata, lelaki itu pernah memandu kereta kebal terbabit pada 1978.

Ditanya pandangannya mengenai simpanan alatan berkenaan, katanya, "ada orang minat kereta api wap, yang lain pula kereta kebal."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 6:00 AM