GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Paris: Satu daripada dua pesakit Covid-19 dengan gejala teruk selepas dirawat di hospital dilaporkan turut mengalami komplikasi kesihatan lain, menurut satu penyelidikan yang komprehensif.

Laporan dikeluarkan jurnal The Lancet itu mendapati terdapat kesan kesihatan jangka pendek dan panjang yang 'mendalam' kepada pesakit Covid-19 serta perkhidmatan kesihatan.

Data itu diperoleh daripada 73,197 pesakit membabitkan 302 hospital di Britain.

Hasil kajian mendapati komplikasi kesihatan yang paling banyak dikesan adalah masalah buah pinggang dan paru-paru, tetapi keadaan berkaitan neurologi dan kardiovaskular juga dilaporkan secara meluas.

Kadar komplikasi adalah tinggi walaupun bagi pesakit 'muda dan sihat sebelum dijangkiti'.

Kira-kira 27 peratus pesakit berusia 19 hingga 29 tahun dan 37 peratus pesakit dalam lingkungan 30 hingga 39 tahun berdepan sekurang-kurangnya satu komplikasi selepas dimasukkan ke hospital.

Pengarang kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet itu, berkata perkara terbabit sepatutnya diberi perhatian oleh pembuat dasar mengenai keperluan merangka sokongan jangka panjang bagi bekas pesakit Covid-19.

"Kajian ini bertentangan dengan naratif bahawa Covid-19 hanya berbahaya kepada orang yang mempunyai komorbiditi (individu mempunyai lebih daripada dua penyakit) dan orang tua.

"Situasi kritikal pesakit ketika dimasukkan ke hospital adalah penunjuk bagi komplikasi, termasuk bagi pesakit muda. Jadi, pencegahan kepada komplikasi ini memerlukan strategi pencegahan utama melalui vaksinasi," kata pengarang kanannya, Prof Calum Semple dari Universiti Liverpool.

Data turut menunjukkan komplikasi kebiasaannya dihadapi pesakit lelaki berbanding wanita.

Selain itu, ia juga lebih tinggi bagi pesakit kulit hitam berbanding pesakit kulit putih.

Hampir satu daripada tiga pesakit atau 27 peratus didapati mengalami masalah kesihatan sebaik keluar daripada hospital tanpa mengira usia, jantina atau bangsa.

Kumpulan pengarang itu turut menjelaskan, komplikasi yang direkodkan dalam kajian berkenaan berbeza dengan sindrom 'Long Covid'.

Pesakit dengan sindrom itu menunjukkan gejala yang berkaitan secara langsung dengan penyakit berkenaan selama beberapa minggu dan selalunya berbulan-bulan selepas jangkitan.

Mereka turut menggesa pemantauan dalam jangka masa panjang terhadap kesan kesihatan pada pesakit Covid-19 dan kerajaan harus bersedia untuk mengatur rawatan susulan, khusus untuk bekas pesakit.

"Adalah penting dengan risiko komplikasi yang tinggi dan kesannya terhadap individu, komplikasi Covid-19 bukan hanya kematian.

"Justeru, perlu dipertimbangkan ketika membuat keputusan mengenai cara terbaik mengatasi wabak ini.

"Hanya memberi fokus kepada kes kematian Covid-19 menunjukkan kecenderungan meremehkan kesan sebenarnya, terutama pada pesakit lebih muda yang cenderung untuk bertahan walaupun mengalami komplikasi Covid-19 yang teruk," kata pengarang bersama kajian itu dari Universiti Edinburgh, Aya Riad.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 6:31 AM