GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

Paris: Seorang wanita berusia 90 tahun maut akibat Covid-19 dijangkiti dua varian iaitu Alpha dan Beta serentak.

Penyelidik di Belgium pada Ahad menyifatkan fenomena itu luar biasa dan kemungkinan dipandang mudah.

Wanita yang belum divaksin dan tinggal bersendirian namun penjagaan di rumah itu dimasukkan ke Hospital OLV di bandar Aalst, Belgium, selepas terjatuh pada Mac lalu didapati positif Covid-19 pada hari yang sama.

Tahap oksigen wanita itu baik, namun kesihatannya merosot dengan cepat dan meninggal dunia lima hari kemudian.

Ketika kakitangan perubatan menjalankan ujian mengesan kehadiran varian membimbang (VOC), mereka mendapati mangsa dijangkiti strain Alpha yang berasal dari Britain dan Beta yang kali pertama dikesan di Afrika Selatan.

"Kedua-dua varian itu sedang menular di Belgium, jadi terdapat kemungkinan wanita ini dijangkiti virus itu daripada dua individu berbeza.

"Malangnya kita tidak tahu bagaimana dia dijangkiti," kata ahli biologi molekul, Anne Vankeerberghen dari Hospital OLV yang mengetuai penyelidikan itu.

Menurutnya, sukar untuk mengatakan jangkitan bersama itu memainkan peranan kepada kemerosotan cepat keadaan pesakit.

Penyelidikan itu yang masih belum dihantar kepada jurnal perubatan untuk penerbitan, dibentangkan kepada Kongres Eropah Mikrobiologi Klinikal dan Penyakit Berjangkit.

Dalam satu kenyataan media, Vankeerberghen berkata, tiada kes lain diterbitkan berhubung jangkitan itu dan turut mengatakan bahawa fenomena itu kemungkinan dipandang mudah.

Katanya, ini disebabkan ujian terhad yang dijalankan bagi VOC dan menggesa penggunaan ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) pantas bagi mengesan mutasi varian yang diketahui.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 12:34 PM