Matt Hancock. Foto AFP
Matt Hancock. Foto AFP
AFP

London: Sehari selepas mohon maaf kerana melanggar sekatan pergerakan berikutan sebuah akhbar tabloid menyiarkan gambarnya memeluk mesra serta mencium seorang wanita, Setiausaha Kesihatan United Kingdom (UK) Matt Hancock memutuskan untuk letak jawatannya semalam.

Surat peletakan jawatan itu dihantar kepada Perdana Menteri, Boris Johnson.

Dalam suratnya itu, beliau bertanggungjawab atas apa yang berlaku.

"Saya berhutang kepada orang-orang yang berkorban begitu banyak dalam menghadapi pandemik Covid-19, untuk bersikap jujur, saya sudah mengecewakan mereka dengan melanggar peraturan," tulisnya di Twitter.

Pejabat Downing Street kemudiannya mengatakan bahawa Ratu Elizabeth II sudah meluluskan pelantikan bekas Menteri Kewangan Sajid Javid sebagai pengganti Hancock.

Hancock mengakui bahawa beliau sudah mengecewakan orang ramai selepas akhbar tabloid menyiarkan gambar daripada rakaman kamera keselamatan menunjukkannya mencium pembantu di pejabatnya pada 6 Mei lalu.

Pengganti Hancock pula, Javid pernah memegang dua jawatan tertinggi dalam kerajaan iaitu berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dari 2019 hingga 2020 dan Menteri Dalam Negeri pada 2018.

Javid adalah bekas pengarah urusan di Deutsche Bank dan sebelumnya pernah menjadi pembantu bekas Datuk Bandar New York, Rudy Giuliani.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 1:02 PM