PETUGAS memakai PPE melakukan sanitasi di Stesen Kereta Api Moscow Belorussky. FOTO AFP
PETUGAS memakai PPE melakukan sanitasi di Stesen Kereta Api Moscow Belorussky. FOTO AFP
AFP

Moscow: Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin pada Sabtu mengumumkan minggu tanpa bekerja di ibu kota Russia itu berikutan negara itu mencatat rekod kes Covid-19 tertinggi dalam tempoh enam bulan.

"Sepanjang minggu lalu, situasi dengan penyebaran jangkitan Covid-19 memburuk," kata Sobyanin di laman webnya pada hari Sabtu ketika bandar itu mencatatkan 6,701 jangkitan harian, jumlah tertinggi sejak Disember tahun lalu.

Sobyanin menambah bahawa 'ribuan' katil hospital telah diubah untuk pesakit Covid-19.

"Untuk menghentikan jangkitan dan menyelamatkan nyawa orang, hari ini saya menandatangani keputusan untuk minggu tidak bekerja antara 15 hingga 19 Jun," kata Sobyanin.

Arahan itu membabitkan semua pekerja di ibu kota Russia itu, bandar yang mempunyai 12 juta penduduk bagaimanapun pekerja perkhidmatan perlu dikecualikan.

Cuti hujung minggu dan cuti umum pada 14 Jun menjadikan mereka yang bekerja di Moscow tidak akan kembali ke pejabat sehingga 20 Jun ini.

Datuk Bandar Moscow juga mengumumkan penutupan medan selera dan taman permainan manakala restoran, kafe dan kelab malam dilarang menerima pelanggan antara jam 11 malam hingga 6 pagi.

Sobyanin juga memerintahkan majikan untuk memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus pekerja yang belum divaksin hanya bekerja dari rumah.

Kes Covid-19 di Moscow dan seluruh negara menyaksikan peningkatan walaupun Russia kini sedang berjuang untuk memberi suntikan vaksin kepada rakyatnya walaupun ia mudah diperoleh untuk orang awam.

Lonjakan kes juga dilaporkan di bandar kedua di Saint Petersburg di Russia yang menjadi tuan rumah kejuaraan bola sepak Euro 2020.

Russia pada Sabtu mencatatkan 13,510 kes baharu dengan 399 kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 11:50 AM