ORANG ramai membeli-belah di London. FOTO EPA
ORANG ramai membeli-belah di London. FOTO EPA
BERNAMA

London: Jumlah kes Covid-19 di seluruh United Kingdom (UK) kembali meningkat berikutan varian virus India terus menular ke seluruh negara dan menjadi strain paling dominan.

Semalam, negara ini mencatatkan 6,238 kes baharu.

Agensi Berita Anadolu melaporkan, antara tempoh 29 Mei dan 4 Jun, seramai 29,028 orang disahkan positif virus itu dengan kadar peningkatan 39.8 peratus berbanding minggu sebelumnya. Bagaimanapun, jumlah kematian direkodkan tetap rendah iaitu hanya 11 orang yang dijangkiti virus itu dalam tempoh 28 hari.

Jika dibandingkan dengan minggu sebelumnya, ia penurunan sebanyak 5.2 peratus.

Setakat 3 Jun, lebih daripada 39.9 juta orang menerima dos pertama vaksin, manakala hampir 26.8 juta orang menerima dos kedua.

Sebanyak 59.8 peratus populasi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dengan 40.1 peratus daripadanya sudah menerima kedua-dua dos.

Suntikan vaksin kini diberikan dalam dua dos selang tiga minggu.

Purata kebolehjangkitan (R) di UK meningkat dan ketika ini berada pada tahap 1.0 hingga 1.2.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 10:01 AM