Orang awam di Itali menerima suntikan vaksin Covid-19 AstraZeneca di Rome, hari ini. FOTO EPA
Orang awam di Itali menerima suntikan vaksin Covid-19 AstraZeneca di Rome, hari ini. FOTO EPA
AFP

Paris: Lebih dua bilion dos vaksin sudah diberikan di seluruh dunia, menurut angka yang dikumpul AFP.

Angka berkenaan dicapai selepas enam bulan kempen vaksinasi dimulakan.

Sekurang-kurangnya 2,109,696,022 suntikan sudah diberikan di 215 negara dan wilayah.

Israel mendahului perlumbaan ini dengan enam daripada 10 individu sudah menerima pelalian mereka.

Ia diikuti dengan Kanada (59 peratus daripada populasi menerima sekurang-kurangnya satu dos), United Kingdom (58.3 peratus), Chile (56.6 peratus), dan Amerika Syarikat (51 peratus).

Enam daripada 10 suntikan diberikan di tiga negara berkepadatan penduduk tertinggi di dunia iaitu China (704.8 juta dos), AS (296.9 juta) dan India (221 juta).

Hanya enam negara di dunia yang belum memulakan program vaksinasi mereka iaitu Korea Utara, Haiti, Tanzania, Chad, Burundi dan Eritrea.

Ketika ini, China menjadi negara terpantas memberikan vaksin dengan 1.37 peratus penduduknya diberi suntikan setiap hari.

Bahrain dan Uruguay juga memberikan suntikan kepada sekitar 1.0 peratus populasi setiap hari.

Kadar pemberian vaksin di India dan Brazil dilihat perlahan dengan hanya 0.19 peratus penduduk India diberikan vaksin setiap hari, manakala Brazil (0.29 peratus).

Negara termiskin dunia hanya memberikan 0.3 peratus suntikan setiap hari sedangkan negara kaya sudah menyuntik empat daripada 10 penduduknya.

Malah, terdapat ketidak adilan dalam pengedaran vaksin di mana hanya 2.5 dos untuk 100 individu diberikan ke Afrika berbanding 87 dos untuk 100 individu di AS dan Kanada.

Oxford/AstraZeneca adalah vaksin yang paling banyak diberikan ketika ini di mana 170 daripada 215 negara menggunakan jenama berkenaan.

Ia diikuti dengan Pfizer/BioNTech, yang digunakan di sekurang-kurangnya 97 negara; Moderna (sekurang-kurangnya 46 negara); Sinopharm (45); Sputnik V (40) dan Johnson & Johnson (29).

Ini kerana vaksin keluaran Oxford/AstraZeneca adalah vaksin utama di bawah program Covax, manakala Pfizer/BioNTech dan Moderna yang sukar disimpan diberikan kepada negara kaya.

Seperti Sputnik V keluaran Rusia, vaksin dari China yang dibangunkan Sinopharm dan Sinovac kebanyakannya digunakan di negara membangun.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 9:11 PM