VAKSIN Covid-19 Sinovac.FOTO fail AFP
VAKSIN Covid-19 Sinovac.FOTO fail AFP
AFP

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meluluskan penggunaan kecemasan vaksin Covid-19 Sinovac.

Ia adalah vaksin kedua keluaran China yang diberikan kelulusan itu.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, vaksin dua dos itu sudah diedarkan di beberapa negara di seluruh dunia.

"Saya gembira untuk mengumumkan bahawa vaksin Sinovac-CoronaVac diberikan kelulusan penggunaan kecemasan selepas didapati selamat, berkesan dan kualitinya disahkan," katanya.

Beliau berkata, kaedah simpanan vaksin itu yang lebih mudah menjadikan vaksin itu sesuai untuk persekitaran dengan sumber yang rendah.

"Kini adalah penting untuk mendapatkan alatan penyelamat nyawa ini untuk diberikan kepada individu memerlukan," katanya.

Bulan lalu, Sinopharm menjadi vaksin pertama keluaran China yang menerima kelulusan penggunaan kecemasan daripada WHO.

Status itu sudah diberikan kepada vaksin lain iaitu Pfizer/BioNTech, Moderna, Johnson & Johnson, dan vaksin AstraZeneca yang dihasilkan di India, Korea Selatan dan Kesatuan Eropah.

Setiap satu dikira sebagai unit berasingan.

Vaksin Sinovac mengandungi koronavirus yang tak teraktif dan tidak boleh menyebabkan penyakit, selain mengandungi sebatian yang menguatkan tindak balas imuniti kepada Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 8:29 AM