FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat meluluskan vaksin Covid-19 BBIBP-CorV dibangunkan oleh Sinopharm China untuk penggunaan kecemasan, lapor agensi berita Xinhua.

"Tengah hari ini (Jumaat), WHO meluluskan penggunaan kecemasan untuk vaksin Covid-19 Sinopharm, menjadikannya vaksin keenam untuk menerima pengesahan WHO untuk keselamatan, keberkesanan dan kualiti," kata Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menerusi taklimat media.

"Ini memperluas senarai vaksin yang COVAX boleh beli, dan memberikan negara keyakinan untuk mempercepat kelulusan kawal selia, bagi tujuan import dan pemvaksinan vaksin itu," katanya.

Vaksin itu dihasilkan oleh Institut-Bio Beijing untuk Biological Products Co Ltd, anak syarikat Kumpulan Biotec Kebangsaan China, adalah vaksin tak teraktif dengan keperluan penyimpanan yang mudah, menjadikannya sesuai untuk diperoleh dalam persekitaran yang mempunyai sumber yang kurang.

Ia juga vaksin pertama yang mempunyai monitor vial vaksin, dengan pelekat kecil pada vial akan menunjukkan perubahan warna jika vaksin itu terdedah kepada haba, sekali gus memberitahu petugas sama ada vaksin itu selamat untuk digunakan.

Menurut Kumpulan Penasihat Strategik Pakar Imunisasi WHO, vaksin Sinopharm disyorkan untuk digunakan bagi individu berusia 18 tahun dan ke atas, dengan dua dos, masing-masing berselang antara tiga hingga empat minggu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 10:25 AM