Petugas farmasi menyediakan vaksin Pfizer di Pusat Pemulihan di Miami. FOTO AFP
Petugas farmasi menyediakan vaksin Pfizer di Pusat Pemulihan di Miami. FOTO AFP
AFP

Paris: Pfizer mempertahankan jualan vaksin Covid-19 keluarannya dengan mendakwa dijual kepada negara miskin pada harga kos biarpun didakwa antara termahal dalam pasaran sekarang.

Ketua Pengarah Eksekutif Pfizer, Albert Bourla berkata, vaksin syarikatnya itu terbukti berkesan menyelamatkan nyawa manusia dan menolong negara bangkit kembali daripada pandemik itu.

"Vaksin adalah sangat mahal, namun kami menjualnya pada harga satu hidangan makanan dan ia membantu merancakkan semula ekonomi serta menghidupkan negara," katanya yang mengetuai syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu.

Bourla bagaimanapun enggan mendedahkan harga sebenar vaksin syarikatnya tetapi mengakui dijual pada harga lebih tinggi kepada Kesatuan Eropah (EU) atau Amerika Syarikat berbanding negara membangun.

"Di negara berpendapatan pertengahan, kami jual pada separuh harga manakala di negara miskin termasuk Afrika, kita jual pada harga kos," katanya.

Namun, ramai pemantau meragui vaksin Pfizer diedarkan secara meluas di negara Afrika kerana ia perlu disimpan dalam peti sejuk di bawah 70 darjah Celcius.

Bourla berkata, ketika ini syarikat berkenaan sedang mengadakan formula baharu untuk memastikan vaksin itu mampu disimpan untuk tempoh empat hingga enam bulan pada suhu normal.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual bersama Les Echos di Perancis, Handelsblatt (Jerman), Corriere Della Sera (Itali) dan El Mundo (Sepanyol).

Berdasarkan data disebarkan beberapa bulan lalu oleh anggota kerajaan Belgium, vaksin dibangunkan bersama syarikat Jerman, BioNTech, Pfizer dan Moderna dijual pada harga tinggi kepada EU.

Perdana Menteri Bulgaria, Boyko Borissov, juga memberi amaran pada awal minggu ini mengenai jurang harga yang besar ketika rundingan penambahan dua bilion dos vaksin pada masa hadapan.

"Pfizer berharga 12 euro (RM58) dan meningkat kepada 15 euro (RM74). Kontrak sudah ditandatangani... pada harga 19.50 euro (RM96)," katanya.

Harga vaksin itu mahal berbanding yang dihasilkan syarikat Britain-Sweden, AstraZeneca, yang menjamin tidak akan membuat keuntungan ketika pandemik dan hanya dijual kepada EU pada harga kurang 2 euro (RM10) seunit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 10:44 AM