Tentera Ukraine di Donbass yang menjadi sedang bergolak. FOTO Agensi
Tentera Ukraine di Donbass yang menjadi sedang bergolak. FOTO Agensi
BERNAMA

Kiev: Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dan Perdana Menteri Britain Boris Johnson pada Isnin berbincang mengenai situasi di timur Ukraine, lapor Agensi Berita Xinhua.

Zelensky menghubungi Johnson semasa lawatan rasminya ke Qatar, menurut perkhidmatan akhbar pejabat presiden.

Presiden Ukraine itu memaklumkan mengenai situasi di Donbass semakin buruk, menyaksikan tentera Rusia membuka penempatan berhampiran sempadan Ukraine-Rusia, dan cuba untuk mengganggu pelaksanaan perjanjian Minsk.

"Tindakan Rusia baru-baru ini menggugat keselamatan Ukraine, negara NATO dan seluruh Eropah," kata Zelensky sambil mendesak Britain, bersama sekutu lain, untuk memperkuat kehadiran mereka di rantau ini dan meningkatkan sekatan terhadap Rusia.

Menurut Pejabat Johnson, "Perdana Menteri menegaskan kembali sokongan teguh terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Ukraine."

Zelensky menekankan bahawa keutamaan Ukraine sekarang adalah mendapatkan Pelan Tindakan Keanggotaan NATO.

Beliau juga mengundang Johnson untuk menghadiri Sidang Kemuncak Perdana Platform Crimean yang dijadualkan pada 23 Ogos.

Mengulas mengenai langkah ketenteraan berhampiran sempadan Ukraine baru-baru ini, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov pada minggu lalu berkata, Rusia mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk memastikan keselamatan sempadannya dan tidak menimbulkan ancaman kepada pihak lain.

Menurutnya, Ukraine tidak memenuhi kewajibannya berdasarkan perjanjian Minsk, yang menyebabkan ketegangan di Donbass meningkat.

Konflik di timur Ukraine, yang bermula April 2014, meragut sekitar 14,000 nyawa dan menyebabkan 40,000 orang cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 11:54 AM