GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

Valenciennes, Perancis: Perancis sepatutnya meneruskan proses pemberian vaksin Covid-19 terhadap orang awam 'pagi, petang dan malam' berikutan pelaksanaannya disifatkan terlalu perlahan.

Presidennya, Emmanuel Macron dalam lawatan ke pusat pemberian suntikan berkata, ia akan menukar tahap 'kelajuan' pelaksanaan bermula April ini.

"Tidak sepatutnya ada hujung minggu atau hari rehat dalam hal berkaitan pemberian vaksin ini," katanya.

Perancis kini berdepan gelombang ketiga jangkitan namun, tertinggal jauh di belakang negara Barat dalam hal berkaitan jumlah individu yang sudah menerima vaksin.

Ia sudah memberikan 8.8 juta dos, berbanding lebih 30 juta dos di Britain dan hampir 11 juta di Jerman.

Walaupun jumlah suntikan dipercepat beberapa minggu ini, namun ia gagal menyaingi angka jangkitan baharu, menyebabkan kerajaan terpaksa melaksanakan perintah berkurung minggu lalu.

Isnin lalu, Menteri Kesihatan, Olivier Veran mengumumkan bahawa pihak tentera akan membuka 35 pusat vaksinasi.

Sehingga kini, Perancis bergantung kepada kemudahan dewan komuniti, hospital, bilik pembedahan dan farmasi untuk memberikan suntikan berbanding di Britain dan Amerika Syarikat (AS) yang menyediakan stadium bagi menampung jumlah penerima suntikan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 9:18 PM