Putera Charles ketika melawat pusat vaksinasi Covid-19 sementara di Masjid Finsbury Park, London. FOTO AFP
Putera Charles ketika melawat pusat vaksinasi Covid-19 sementara di Masjid Finsbury Park, London. FOTO AFP
AFP

London: Pewaris takhta Britain, Putera Charles mengkritik tindakan segelintir pihak yang menolak vaksin dan tidak menyangka bahawa pada abad ke-21 masih ada pihak berbuat demikian.

Charles berkata, orang ramai tidak sepatutnya takut dengan pemberian vaksin.

"Siapa sangka pada abad ke-21 masih ada yang menentang vaksinasi sedangkan ia terbukti berjaya melenyapkan beberapa penyakit berjangkit," katanya dalam artikel di Future Healthcare Journal.

Charles, yang lantang menyokong pemberian vaksin berkata, pemberian suntikan itu berupaya 'melindungi sebahagian daripada kumpulan rentan dalam komuniti daripada dijangkiti Covid-19'.

Beliau yang pernah dijangkiti Covid-19 tahun lalu dan mengalami gejala ringan, telah mendapatkan dos pertama vaksin Covid-19 Februari lalu.

Isterinya, Camilla, 73, mengesahkan bahawa beliau turut menerima suntikan vaksin daripada AstraZeneca semalam.

"Anda ambil saja apa yang diberi," katanya selepas pasangan berkenaan melawat pusat vaksinasi di masjid di utara London.

Katanya, setakat ini beliau tidak mengalami sebarang tindak balas serius.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 9:41 PM