PENDUDUK beriadah di Victoria Park, di timur London. FOTO AFP
PENDUDUK beriadah di Victoria Park, di timur London. FOTO AFP
AFP

London: United Kingdom (UK) pada Ahad mengumumkan sudah memvaksin lebih 20 juta orang dengan sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Perdana Menteri Boris Johnson menyifatkan ia sebagai kejayaan besar sambil memuji petugas Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan dan pihak lain yang bekerja keras dalam perkara itu.

Setiausaha Kesihatan Matt Hancock membuat pengumuman itu di Twitter dengan menulis: "Saya amat gembira bahawa lebih 20 juta orang kini sudah divaksin."

Seramai 20,089,551 orang sudah menerima vaksin pertama, menurut angka rasmi kerajaan pada Ahad.

Pada pertengahan Februari, kerajaan UK menyasarkan untuk memvaksin 15 juta orang untuk dos pertama.

Kerajaan berkata, ia bercadang menawarkan dos pertama untuk seluruh populasi dewasa menjelang akhir Julai.

Program pemvaksinan UK dilaksanakan pantas sejak dimulakan pada awal Disember, apabila menjadi negara pertama yang melaksanakan program imunisasi besar-besaran.

Kegagalan mengekang penularan virus itu dan melakukan pengesanan kontak pada peringkat awal menyebabkan kes kematian akibat Covid-19 di negara itu kini 122,705 iaitu tertinggi di Eropah.

Negara itu masih dikenakan sekatan pergerakan (lockdown), namun bilangan kes harian dan jumlah individu dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia, menurun dengan mendadak sejak akhir Januari.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 8:51 AM