VARVARA Vlasova ketika tampil dalam iklan pakaian. FOTO Agensi
VARVARA Vlasova ketika tampil dalam iklan pakaian. FOTO Agensi
Agensi

Moscow: Gara-gara terpengaruh dengan kumpulan dalam talian bertemakan Harry Porter, dua kanak-kanak Rusia maut selepas terjun dari sebuah bangunan kediaman dari ketinggian 51.8 meter, Selasa lalu.

The Sun melaporkan model kanak-kanak Varvara Vlasova dan rakannya, Valeria Shirshova masing-masing berusia 12 tahun ahli kumpulan death group bertemakan Harry Porter.

Media tempatan yang memetik sumber polis melaporkan, mereka membuat klip video pendek sebelum terjun dari tingkat 17 sebuah bangunan di Samara, barat daya Rusia sebagai menyempurnakan tugas dalam kumpulan itu.

Laporan menyebut, mereka kelihatan tersenyum sebelum seorang dari mereka berkata 'mimpi ngeri' ke arah kamera sebelum bergelak ketawa.

Kedua-dua mereka belajar kelas sama dan mempunyai latar belakang keluarga berada serta digambarkan sebagai pelajar pintar dan menghadiri kelas sebelum kematian mereka itu.

Ibu bapa mereka percaya kumpulan dalam talian bertemakan Harry Porter itu tidak berbahaya.

Polis masih giat menyiasat kematian mereka termasuk pembabitan dalam kumpulan berkenaan.

Akhbar ProGorod melaporkan, Varvara dan Valeria sebenarnya sudah merancang 'kematian' mereka dan pernah mengucapkan selamat tinggal kepada rakan kelasnya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, trend bunuh diri dalam kalangan kanak-kanak di Rusia semakin menjadi-jadi.

Kematian kanak-kanak itu dikaitkan dengan kumpulan dalam talian yang mempengaruhi golongan itu meragut nyawa mereka sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2021 @ 6:05 AM