GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Agensi

Geneva: Suami isteri di Switzerland menamakan bayi perempuan mereka dengan nama Twifia semata-mata mahu memenangi langganan wifi percuma untuk 18 tahun.

Pasangan itu pada mulanya terlihat iklan menerusi Facebook daripada Twifia iaitu penyedia perkhidmatan internet di Switzerland.

Berdasarkan iklan itu, individu perlu meletakkan nama Twifus jika mendapat bayi lelaki atau Twifia sebagai bayi perempuan.

Ia sebagai pertukaran untuk perkhidmatan internet percuma selama 18 tahun.

Portal Odditycentral melaporkan ibu bapa bayi itu yang masing-masing berusia 30 dan 35 tahun itu menganggap nama Twifia tidak terlalu teruk dan memutuskan untuk menggunakan perkataan itu sebagai nama bayi mereka.

Selain itu, mereka memikirkan wang penjimatan daripada langganan percuma wifi itu boleh disimpan untuk kegunaan anak mereka.

Justeru, pasangan itu akhirnya memakai nama Twifia sebagai nama tengah bayi perempuan mereka.

"Semakin lama berfikir, semakin unik nama itu. Itu adalah satu daya tarikan," kata bapa bayi perempuan itu.

Bagaimanapun, isteri lelaki itu pada mulanya tidak bersetuju dengan idea suaminya, namun akhirnya mengalah.

"Bagi saya, nama Twifi juga bermaksud hubungan dalam konteks ini.

"Terdapat banyak nama yang lebih buruk. Dan lebih kerap kita menyebut Twifia nama itu lebih sedap bunyinya," kata ibu muda itu.

Bagaimanapun, media melaporkan pasangan itu enggan identiti mereka dikenali kerana bimbang pandangan masyarakat.

"Kami tidak mahu dikenali orang sekeliling," kata mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 7:02 AM