Ketulan nuget mencapai ketinggian lebih 33,528 meter dari Bumi. Foto Agensi
Ketulan nuget mencapai ketinggian lebih 33,528 meter dari Bumi. Foto Agensi
Agensi

Deeside: Syarikat pembekal makanan, Iceland Foods meraikan ulang tahun ke-50 dengan menghantar produk yang menjadi ikonnya, ketulan nuget ke angkasa.

Nuget keluaran syarikat berkenaan yang terjual kira-kira 10 juta biji seminggu di sekitar United Kingdom yang dilancarkan berdekatan ibu pejabatnya di sini, menjadi yang pertama seumpamanya menjelajah ke ruang angkasa.

Menerusi video yang dikongsi pada 14 Oktober lalu, ketulan nuget berkenaan mencapai ketinggian lebih dari 110,000 kaki (33,528 meter) dari Bumi.

Ia mengambil masa kurang dari dua jam untuk mencapai ketinggian berkenaan dan melalui perjalanan dengan suhu 60 darjah Celsius di bawah paras beku menuju ke stratosfera.

Sepasukan pakar dalam bidang eksplorasi stratosfera menggunakan belon cuaca meteorologi yang diisi dengan hidrogen untuk menerbangkan ketulan nuget itu ke angkasa.

Iceland Foods bekerjasama dengan Sent Into Space, sepasukan pakar dalam bidang penerokaan stratosfera, untuk projek tersebut.

Ia kemudiannya menuju kembali ke Bumi dengan kelajuan 322 kilometer sejam, sebelum berjaya mendarat di sebuah kawasan pergunungan.

"2020 merupakan tahun penting tetapi sukar bagi kami, dan kami mahu meraikan ulang tahun dengan cara yang paling diingati.

"Mesej yang kami ingin sampaikan kepada pelanggan ialah produk kami adalah luar biasa," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 1:16 PM