Hong Kong
Hong Kong
Bernama-Xinhua

Hong Kong: Kerajaan Hong Kong (HK) pada Selasa amat kesal dan membantah sekeras-kerasnya kenyataan tidak benar mengenai Hong Kong dalam Laporan Pemerdagangan Orang 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara AS, lapor Xinhua.

Jurucakap kerajaan HK berkata pemerdagangan orang tidak pernah menjadi masalah lazim di Hong Kong dan tidak pernah ada sebarang tanda bahawa Hong Kong digunakan oleh sindiket jenayah sebagai destinasi atau tempat transit untuk pemerdagangan orang.

Beliau menegaskan dapatan dalam laporan itu adalah tidak berasas sama sekali.

Mengenai kenyataan tidak berasas dalam laporan itu mengenai kekurangan undang-undang pemerdagangan komposit di HK, jurucakap itu menyatakan bahawa rangka kerja perundangan semasa kerajaan HK menyediakan pakej perlindungan yang komprehensif setanding dengan undang-undang pemerdagangan orang komposit yang terdapat pada bidang kuasa lain.

"Tiada petunjuk yang menunjukkan bahawa keberkesanan usaha antipemerdagangan orang Hong Kong telah terjejas tanpa undang-undang pemerdagangan komposit," kata jurucakap itu.

Kerajaan HK sentiasa berusaha secara proaktif dan pelbagai serampang dalam memerangi pemerdagangan orang.

Sebuah jawatankuasa pemandu peringkat tinggi juga telah ditubuhkan pada Mac 2018 untuk menyediakan panduan dasar mengenai memerangi pemerdagangan orang dan melindungi pembantu rumah asing.

Menurut jurucakap itu, kerajaan telah mengumumkan pelan tindakan dengan pelbagai aspek, komprehensif, strategik dan langkah-langkah yang disasarkan semuanya dilaksanakan sepenuhnya menjelang akhir 2019 untuk merangkumi pengenalan mangsa, penyiasatan, penguatkuasaan, pendakwaan, perlindungan dan sokongan mangsa, pencegahan, dan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 5:23 PM