GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
BERNAMA

Jakarta: Kadar perceraian di wilayah Papua Selatan meningkat secara mendadak tahun ini, didorong sebahagian besarnya oleh tekanan ekonomi ditambah lagi dengan pembabitan dalam aktiviti perjudian dalam talian, menurut Mahkamah Agama Merauke.

Menurut jurucakap mahkamah, Muhammad Sobirin, terdapat 41 kes cerai dan 152 permohonan cerai setakat ini, menandakan peningkatan ketara berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Kesukaran kewangan menjadi faktor utama, mendorong ramai isteri untuk memulakan prosiding perceraian kerana suami mereka tidak mampu menampung kehidupan keluarga mereka dengan secukupnya," katanya, seperti dipetik portal berita Papua Selatan Pos.

Beliau juga menyatakan bahawa isteri sering mengaitkan keputusan mereka dengan pengabaian suami mereka terhadap tanggungjawab kewangan yang dikaitkan dengan perjudian dalam talian apabila membentangkan kes mereka di mahkamah.

Pasangan yang bercerai, biasanya berumur antara 23 dan 50 tahun, selalunya sudah mempunyai anak, tambah Muhammad Sobirin.

Kerajaan Indonesia sedang mempergiatkan usaha untuk menangani isu judi dalam talian yang semakin meningkat, yang melibatkan lebih 2.7 juta peserta di seluruh negara dan menjana perolehan sebanyak 327 trilion rupiah (kira-kira AS$20 bilion) pada 2023.

Sejak 17 Julai, Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat telah menyekat 2.94 juta tapak perjudian dalam talian.

Menteri Koordinator Hal Ehwal Politik, Undang-undang dan Keselamatan Hadi Tjahjanto telah ditugaskan mengetuai pasukan petugas untuk memerangi masalah itu.

Insiden baru-baru ini telah menyerlahkan kesan meluas perjudian dalam talian, yang bukan sahaja menjejaskan individu berpendapatan rendah tetapi juga menjangkau kalangan penguatkuasa undang-undang, termasuk anggota polis dan tentera.

Pada 27 April, seorang pegawai tentera laut Indonesia berusia 31 tahun secara tragis meninggal dunia akibat luka tembak yang dilakukan sendiri di pos arahan taktikal di wilayah Pergunungan Papua.

Kematiannya disyaki dikaitkan dengan hutang yang besar berjumlah 819 juta rupiah (kira-kira AS$57,400), yang terkumpul akibat aktiviti judi dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 4:38 PM