PENDUDUK Palestin mengumpul air berhampiran bangunan yang musnah susulan pengeboman Israel di Khan Yunis, selatan Gaza. FOTO AFP
PENDUDUK Palestin mengumpul air berhampiran bangunan yang musnah susulan pengeboman Israel di Khan Yunis, selatan Gaza. FOTO AFP
AFP

Geneva: Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) berkata, 22 orang terbunuh dalam serangan yang merosakkan pejabatnya di Gaza, pada Jumaat.

ICRC tidak menyatakan siapa yang melepaskan tembakan tetapi dalam satu kenyataan di platform media sosial X berkata, peluru itu merosakkan struktur pejabat ICRC.

Ia berkata, 22 mayat dan 45 cedera dibawa ke hospital medan Palang Merah berhampiran, selepas tembakan, dan terdapat laporan kematian tambahan.

Kementerian Kesihatan di wilayah kendalian Hamas berkata, terdapat 25 maut dan 50 cedera dalam tembakan yang dipersalahkan terhadap Israel.

Kementerian itu berkata, serangan Israel menyasarkan khemah pelarian di kawasan Al-Mawasi yang berada di sekitar pangkalan ICRC.

Jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF) tidak mengakui sebarang peranan dalam insiden itu tetapi berkata, kejadian itu dalam semakan.

"Siasatan awal yang dijalankan menunjukkan bahawa tidak ada petunjuk bahawa serangan dilakukan oleh tentera Israel di kawasan kemanusiaan di Al-Mawasi. Insiden itu sedang dalam semakan," kata jurucakap itu kepada AFP.

ICRC berkata, peluru berkaliber berat mendarat dalam jarak beberapa meter dari pejabat dan kediaman ICRC, pada petang Jumaat.

"Tembakan sangat berbahaya dekat dengan struktur kemanusiaan, yang lokasinya diketahui oleh pihak konflik dan yang jelas ditandai dengan lambang Palang Merah, meletakkan nyawa orang awam dan kakitangan Palang Merah dalam bahaya.

"Insiden keselamatan yang teruk ini adalah salah satu daripada beberapa kejadian dalam beberapa hari kebelakangan ini.

"Sebelum ini, peluru sesat mencecah struktur ICRC. Kami mengecam insiden ini yang membahayakan nyawa manusia dan orang awam," katanya.

ICRC sudah membuat gesaan yang semakin terdesak supaya Israel dan Hamas menghormati undang-undang antarabangsa dan melindungi orang awam yang terperangkap di tengah-tengah konflik yang tercetus selepas serangan Hamas pada 7 Oktober tahun lalu, ke atas Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 1:38 PM