GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Jakarta: Polis Indonesia membongkar 318 kes perjudian dalam talian dan menahan 464 suspek dalam satu operasi besar-besaran sejak tiga bulan lepas, kata seorang pegawai kanan polis.

Operasi dijalankan oleh Pasukan Khas Pembanterasan Perjudian Dalam Talian Jabatan Siasatan Jenayah itu berlangsung antara 23 April hingga 17 Jun, menurut ketuanya, Pesuruhjaya Wahyu Widada.

"Kami merampas sejumlah besar bukti, termasuk wang tunai sebanyak 67.5 bilion rupiah (AS$4.6 juta), 494 telefon bimbit, 36 komputer riba, 257 akaun bank, 98 akaun perjudian dalam talian dan 296 kad ATM," kata Wahyu dalam satu sidang media.

Beliau menegaskan bahawa bilangan kaki judi dalam talian di republik itu mencecah 2.37 juta, termasuk kanak-kanak.

"Semalam, dilaporkan 80,000 kanak-kanak di bawah umur 10 tahun terbabit. Situasi ini amat membimbangkan," katanya.

Wahyu menyatakan bahawa kebanyakan transaksi perjudian dalam talian adalah kecil - selalunya di bawah 100,000 rupiah (AS$6.80) - tetapi bilangan peserta adalah ramai.

Operasi itu sebahagian daripada inisiatif kerajaan yang lebih luas untuk melindungi orang ramai daripada kesan buruk perjudian dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 9:23 AM