WOO May Hoe. FOTO 8world reader
WOO May Hoe. FOTO 8world reader
AFP

Singapura: Seorang pemimpin spiritual di Singapura dipenjarakan 10 tahun atas dakwaan menipu jutaan dolar daripada pengikutnya dan menggunakan hukuman ketat untuk mendisiplinkan mereka yang tidak mematuhinya.

Menurut Channel NewsAsia (CNA), Woo May Hoe dijatuhi hukuman penjara 10 tahun setengah, semalam.

Woo dituduh meyakinkan kira-kira 30 pengikut untuk mempercayai dia adalah dewa dan menipu mereka lebih daripada SGD10 juta (RM34.87 juta) selama beberapa tahun, menurut dokumen mahkamah.

Woo juga memberitahu pengikutnya bahawa bayaran mereka akan digunakan untuk menghapuskan 'karma buruk' mereka.

Mereka diberitahu dana itu dihantar kepada seorang tokoh kerohanian di India bernama Sri Sakthi Narayani Amma atau membiayai pembinaan kuil baharu.

Dia menghukum pengikut jika derhaka dengan merotan, selain memaksa mereka makan najis atau mencabut gigi mereka dengan playar.

Pegawai kesihatan mendapati, dia mengalami skizofrenia paranoid semasa melakukan kesalahannya, namun dia menyedari perbuatan haram itu.

"Tindakan tertuduh menghancurkan sepenuhnya kehidupan pengikutnya, menyebabkan mereka berada dalam keadaan kewangan yang teruk dan hilang upaya fizikal kekal kepada sesetengah pihak," kata pendakwa raya dalam hujahan hukuman mereka kepada mahkamah.

Pada 2020, polis Singapura menahan 21 ahli sebuah cawangan tempatan Gereja Shincheonji Jesus (SCJ) Korea Selatan.

Mereka ditahan kerana menjadi ahli pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Di bawah undang-undang Singapura, sesiapa yang disabitkan kesalahan menjadi ahli pertubuhan menyalahi undang-undang, boleh dipenjarakan sehingga tiga tahun serta didenda sehingga 3,700 dolar Singapura (kira-kira RM12,902).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 10:51 AM