Pemandangan dari udara menunjukkan Masjidil Haram Makkah dengan Kaabah. FOTO AFP
Pemandangan dari udara menunjukkan Masjidil Haram Makkah dengan Kaabah. FOTO AFP
BERNAMA

Mina: Pelan kesihatan untuk musim haji tahun ini berjaya dilaksanakan dan tidak berlaku sebarang wabak ataupun ancaman penyakit lain terhadap kesihatan awam, kata Menteri Kesihatan Arab Saudi Fahd bin Abdul Rahman Al-Jalajel seperti dilaporkan Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Laporan itu memaklumkan bahawa Al-Jalajel menyatakan kepuasannya, kerana walaupun jumlah jemaah haji yang ramai dan cabaran suhu yang tinggi, tidak berlaku sebarang wabak ataupun ancaman kesihatan lain berlaku.

"Syukur kepada Allah, dengan sokongan tidak berbelah bahagi daripada Penjaga Dua Kota Suci dan susulan Putera Mahkota dan Perdana Menteri, saya gembira untuk mengumumkan kejayaan pelan kesihatan Haji tahun ini," kata Al-Jalajel dalam satu kenyataan kepada SPA.

AL-Jalajel berkata pelbagai kelengkapan telah disediakan termasuk 189 hospital serba lengkap, pusat kesihatan dan klinik bergerak dengan kapasiti keseluruhan melebihi 6,500 katil, lebih 40,000 kakitangan perubatan, teknikal, pentadbiran, dan sukarelawan, disokong lebih 370 ambulans, tujuh ambulans udara serta rangkaian logistik yang kukuh, merangkumi 12 makmal, 60 trak bekalan, dan tiga gudang perubatan mudah alih yang diletakkan secara strategik di seluruh kawasan untuk memastikan kesejahteraan jemaah.

Dalam laporan itu beliau berkata untuk musim haji tahun ini, kementeriannya memberikan khidmat kepada lebih 390,000 jemaah termasuk melakukan lebih daripada 28 pembedahan jantung, 720 cardiac catheterisations dan 1,169 sesi dialisis dan lebih signifikan lagi, Hospital Maya Seha menyediakan perundingan maya kepada lebih 5,800 jemaah terutamanya untuk penyakit berkaitan haba, membolehkan tindakan segera dan mengurangkan potensi peningkatan kes.

Al-Jalajel memuji kerjasama pelbagai pihak penjagaan kesihatan, mengiktiraf sumbangan Kluster Kesihatan Makkah, Bulan Sabit Merah, Pihak Berkuasa Kesihatan Awam (Weqaya), dan Makanan dan Ubat Arab Saudi, serta sokongan diberikan National Unified Procurement Company (NUPCO), Pusat Sukarelawan Kesihatan, dan semua pihak berkepentingan lain dalam sektor kesihatan kerajaan Arab Saudi.

Laporan itu turut menyatakan penghargaan kementerian kesihatan terhadap langkah dilaksanakan Jawatankuasa Tertinggi Haji yang diketuai Menteri Dalam Negeri Putera Abdulaziz bin Saud bin Naif, yang bertujuan melindungi jemaah haji daripada risiko cuaca panas semasa ibadah dan menangani potensi cabaran kesihatan.

Al-Jalajel turut merakamkan penghargaan atas sumbangan Kementerian Dalam Negeri dalam melaksanakan pelan kesihatan berkesan dan merakamkan ucapan terima kasih kepada Gabenor Makkah dan Pengerusi Jawatankuasa Haji Pusat Putera Khalid bin Faisal, Timbalan Gabenor dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Haji Pusat Putera Saud bin Mishaal bin Abdulaziz dan Perbandaran Makkah atas peranan mereka dalam mencapai kejayaan ini.

Menteri kesihatan itu menekankan bahawa pencapaian rancangan itu, mencerminkan kerjasama yang lancar antara semua agensi kerajaan dan persiapan awal yang dibuat dalam rangka Pilgrim Experience Program.

Al-Jalajel secara khusus turut mengiktiraf saranan Jawatankuasa Haji Pusat supaya jemaah haji mengelak daripada melakukan ibadah semasa suhu puncak, yang secara signifikan menyumbang kepada penjagaan kesihatan jemaah dan meminimumkan penyakit akibat tekanan haba, menurut laporan itu.

Beliau juga memuji kerjasama dalam mendidik jemaah haji, sehingga berjaya mencegah wabak penyakit yang boleh menjejaskan kesihatan awam dan merakamkan ucapan terima kasih kepada semua agensi kerajaan yang mengambil bahagian atas kerjasama dalam menyediakan perkhidmatan dan menekankan kerjasama itu menyumbang secara signifikan kepada kejayaan musim haji tahun ini dan pencegahan berlakunya wabak.

Menteri kesihatan itu turut memuji semangat kerjasama dan solidariti dalam kalangan petugas terlibat dalam khidmat jemaah, serta berterima kasih kepada semua petugas kesihatan, anggota keselamatan dan petugas lain yang menyumbang dengan dedikasi dan usaha tanpa jemu untuk menjayakan musim haji.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 4:18 PM