Kanak-kanak di Gaza. FOTO Arab News
Kanak-kanak di Gaza. FOTO Arab News
Agensi

Baitulmaqdis: Persatuan Tahanan Palestin (PPS) mendakwa tentera Israel menahan 640 kanak-kanak Palestin dari Tebing Barat, setakat ini.

Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA) melaporkan, jumlah itu termasuk pencerobohan 7 Oktober lalu.

Dalam satu kenyataan PPS berkata, sejak pembunuhan beramai-ramai Israel di Gaza bermula, sekurang-kurangnya 640 penahanan kanak-kanak direkodkan.

Katanya, jumlah terbabit termasuk mereka yang kemudiannya dibebaskan pihak berkuasa penjajah.

"Pada masa ini kira-kira 250 kanak-kanak masih ditahan di penjara penjajah.

"Lebih menakutkan, mereka mengalami penderaan, penyeksaan dan jenayah perubatan," katanya.

PPS melaporkan, kehadiran sekumpulan kanak-kanak di Penjara Megiddo di utara Israel yang ditahan dari Semenanjung Gaza.

Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut mengenai tahanan Gaza.

Menurut PPS, pihak berkuasa Israel menahan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dikenali sebagai Baha Kazem Haj Mohammed, dari bandar al-Mughayyir di timur Ramallah, pada Aidiladha lalu.

Katanya, beberapa jam kemudian kanak-kanak itu dibebaskan.

"Menurut keluarga kanak-kanak itu, Baha ditahan ketika berada di pusat bandar bersama kanak-kanak dan remaja lain yang turut ditahan.

"Selepas ditahan, tangan Baha dipukul.

"Selepas dibebaskan beberapa jam kemudian, tentera penjajah sengaja meninggalkan budak lelaki berusia tujuh tahun itu jauh dari rumahnya," katanya.

Dalam perkembangan lain yang dilaporkan media tempatan, sekurang-kurangnya 17 orang maut di kem pelarian Nuseirat, dalam tempoh 24 jam.

Bandar itu dihujani dengan pengeboman besar-besaran Israel selepas tengah malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 2:38 PM