Sebahagian peninggalan dalam makan berkenaan. FOTO
Sebahagian peninggalan dalam makan berkenaan. FOTO
Agensi

Beijing: Makam berusia 1,800 tahun dipercayai milik keluarga dari dinasti Han ditemui di timur China, menjadi sasaran popular perompak kerana tinggalan berharga di dalamnya.

Mengikut sejarah, keluarga berkenaan membina tiga makam yang rumit bagi tempat mengebumikan keluarga mereka.

Satu daripada makam itu tidak pernah ditemui manakala dua lagi dilupakan berabad-abad lalu, menyebabkan mereka terbaring tanpa gangguan selama beberapa generasi.

Pada penghujung 2023, pekerja yang menaik taraf taman tempatan di wilayah Shandong, timur China menemui busut yang rosak sebahagiannya sebelum memulakan proses penggalian.

Institut Arkeologi Akademi Sains Sosial China berkata, walaupun dua daripada tiga kubur yang digali di Tanah Perkuburan Dazhuangzi dirompak, struktur kubur itu agak jelas dan sejumlah besar peninggalan budaya berharga masih digali.

"Apa yang luar biasa ialah dua daripada tiga makam itu ditemui dengan ukiran yang berkongsi nama keluarga Huan.

"Jadi, boleh disimpulkan makam itu mungkin milik keluarga Huan," katanya.

Katanya, makam itu terpelihara dengan baik mengandungi pintu makam, laluan dan ruang keranda.

"Walaupun keranda itu dipelihara dengan baik, tulang di dalamnya reput selama beribu tahun.

"Penemuan struktur keranda direka dengan indah terutama kereta pembawa keranda, menyediakan bahan berharga untuk mengkaji adat pengebumian dinasti Han di sepanjang pantai tenggara Shandong," kata pengumuman itu.

Objek pengebumian juga ditemui termasuk tembikar, pedang besi, cermin gangsa dan pelbagai kayu.

Selain itu, cawan telinga yang mungkin digunakan untuk minum alkohol purba ditanam di dalam kotak besar yang ditemui di tapak itu.

Penggalian berjalan antara Disember 2023 hingga Januari 2024 di Rizhao, sebuah bandar pesisir pantai.

Dinasti Han dianggap sebagai salah satu era keemasan sejarah China kerana kejayaan ekonomi dan lonjakan dalam sains dan teknologi, seperti pembuatan kertas, pengenalan nombor negatif dalam matematik dan teknologi pengesanan awal gempa bumi.

Dinasti Han berakhir dengan rampasan kuasa panglima perang Cao Pi, yang mencetuskan Zaman Tiga Kerajaan yang ganas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 1:28 PM