Sebahagian barangan digunakan pelajar itu yang dirampas polis. FOTO Jabatan Polis Isparta
Sebahagian barangan digunakan pelajar itu yang dirampas polis. FOTO Jabatan Polis Isparta
Agensi

Ankara: Seorang pelajar lepasan sekolah menengah di Turkiye kantoi apabila menggunakan AI untuk menjawab soalan peperiksaan kemasukan ke universiti.

Insiden itu berlaku di sebuah sekolah menengah ketika ribuan pelajar mengambil Ujian Kecekapan Asas (TYT), sesi pertama Peperiksaan Institusi Pengajian Tinggi (YKS) di Isparta, 8 Jun lalu.

Pelajar lelaki berkenaan ditangkap kerana menipu menerusi sambungan Internet, kamera tersembunyi dan perisian AI yang boleh membaca soalan pada ujian dan memberikan jawapan serta merta.

Namun, taktik pelajar itu berjaya dihidu pengawas peperiksaan yang curiga dengan kelakuannya.

Selepas menemui set fon kepala ditelinganya, pengawas peperiksaan mengiringinya keluar dari dewan peperiksaan sebelum menyerahkannya kepada polis.

Jabatan Polis Isparta mengesahkan, pelajar lelaki itu menyembunyikan penghala kecil dalam lapisan kasutnya untuk melepasi titik kawalan di pintu masuk dewan peperiksaan serta telefon pintar kecil yang diubah sebagai pemegang kad kredit, kamera definisi tinggi sebagai butang baju dan set fon kepala kecil di telinganya.

Polis masih belum mengesahkan AI yang digunakan pelajar itu, namun beberapa saluran berita menjangkakan, ia platform yang dikuasakan ChatGPT.

Pelajar itu berdepan hukuman penjara kerana menipu dalam peperiksaan universiti dianggap sebagai kesalahan serius di Turkiye.

Dia juga dilarang mengambil peperiksaan kemasukan universiti lagi sekurang-kurangnya dua tahun.

Agensi berita AA Turki melaporkan, kejadian itu kes pertama membabitkan penipuan menggunakan AI untuk kemasukan ke universiti.

18hmAI: Sebahagian barangan digunakan pelajar itu yang dirampas polis. FOTO Jabatan Polis Isparta

TAMTA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 10:50 AM