PENGHADANG yang dipasang bagi mengelak pelancong merakamkan gambar Gunung Fuji di satu lokasi di bandar Fujikawaguchiko. FOTO AFP
PENGHADANG yang dipasang bagi mengelak pelancong merakamkan gambar Gunung Fuji di satu lokasi di bandar Fujikawaguchiko. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Terdapat kira-kira 10 lubang kecil ditebuk pada jaring yang menjadi penghadang buat pelancong daripada mengambil gambar Gunung Fuji, Jepun.

Penghadang itu dipasang di tempat bergambar popular di bandar Fujikawaguchiko. lebih seminggu lalu, selepas penduduk setempat mengadu ramai pengunjung asing membuang sampah, menceroboh dan melanggar peraturan lalu lintas.

Jurucakap bandar memberitahu AFP, jaring hitam itu bertujuan menyuraikan orang ramai di laluan sempit di seberang jalan dari kedai serbaneka di situ.

Walaupun pengawal keselamatan berada di situ antara 10 pagi hingga 4 petang, lubang itu kemungkinan ditebuk pada waktu pagi atau petang ketika tiada sesiapa yang memerhati.

"Ia mengenai adab. Sungguh memalukan," katanya mengenai lubang itu yang cukup besar untuk memuatkan satu jari, tetapi mungkin terlalu kecil untuk menangkap gambar gunung tertutup salji yang dilihat di belakang kedai.

Katanya, sejak jaring berukuran 20 meter itu dipasang pada Selasa minggu lalu, ada beberapa orang yang datang untuk melihat sendiri penghadang berkenaan.

"Tetapi kami mencapai matlamat (memasang penghadang) untuk tidak menggalakkan orang ramai daripada berada di sana," katanya.

Bandar di sebelah tasik gunung berapi yang indah itu kini merancang untuk meletakkan kod QR pada penghadang untuk memperkenalkan tarikan pelancong lain di kawasan itu, termasuk tempat alternatif untuk mengambil gambar Gunung Fuji.

Apabila tempat di hadapan kedai serbaneka itu menjadi kurang popular dalam talian, maka bandar itu mungkin menurunkan penghadang berkenaan, kata jurucakap berkenaan.

Rekod bilangan pelancong luar negara yang datang ke Jepun melebihi tiga juta buat kali pertama pada Mac dan sekali lagi April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 10:24 AM