PENDUDUK Palestin melarikan diri dari Hospital Kamal Adwan di utara Gaza. FOTO Reuters
PENDUDUK Palestin melarikan diri dari Hospital Kamal Adwan di utara Gaza. FOTO Reuters
Reuters

Baitulmaqdis: Peluru berpandu Israel menyerang jabatan kecemasan hospital utara Gaza pada Selasa, kata pegawai perubatan.

Ia menyebabkan kakitangan perubatan yang panik membawa keluar pesakit yang berada atas katil hospital dan pengusung, ke jalan.

Video yang diperoleh Reuters menunjukkan anggota perubatan dalam pakaian perlindungan diri (PPE) membawa pesakit keluar dari perkarangan hospital di Jabalia, menjerit ketakutan dan melihat ke belakang seolah-olah ada serangan susulan.

"Peluru berpandu pertama mengenai pintu masuk jabatan kecemasan. Kami cuba masuk, dan kemudian datang peluru berpandu kedua, dan yang ketiga mengenai bangunan berhampiran.

"Kami tidak boleh kembali ke dalam. Kami benar-benar tidak pernah membayangkan bahawa satu hari jabatan kecemasan akan terkena.

"Jabatan kecemasan menyediakan perkhidmatan untuk kanak-kanak, warga emas dan orang di dalam jabatan hospital," kata Hussam Abu Safia, ketua Hospital Kamal Adwan.

Tentera Israel (IDF) memaklumkan sudah melihat laporan mengenai insiden itu, yang dikatakan sedang dalam semakan.

"IDF sedang meneliti sumber serangan dan sedang mengkaji kemungkinan bahawa ia adalah tembakan sesat IDF yang tidak diarahkan ke hospital," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan mengenai kejadian itu.

Seorang lelaki dirakam sedang membuai bayi baru lahir yang dibaluti kain biru, manakala, lelaki warga emas terlanggar pengusung beroda di jalan.

Sementara individu lain dari hospital itu, kebanyakannya wanita dan ada yang memakai PPE atau berkot putih, lari ketakutan.

"Seperti yang kamu lihat, (ini) pemindahan mangsa yang cedera dan pasukan dari dalam kompleks perubatan.

"Pasukan perubatan (menghadapi) pengeboman, kebakaran dan kereta kebal di kompleks perubatan Kamal Adwan," kata pekerja kecemasan Palestin, Fares Afana.

Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas akaun insiden itu.

Israel berkata, ia kembali ke Jabalia untuk menghalang kumpulan pejuang Palestin yang mengawal Gaza daripada berkumpul semula.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 3:06 PM