LAPAN pasangan kembar berkenaan. FOTO Agensi
LAPAN pasangan kembar berkenaan. FOTO Agensi
Agensi

New Delhi: Sebuah sekolah rendah tempatan di bandar Aizawl, dalam wilayah Mizoram di timur laut India, menjadi tumpuan apabila menerima kemasukan lapan pasangan kembar, lapor NDTV News.

Perkongsian itu yang dilaporkan menerusi The Assam Tribune kemudiannya tular di media sosial, sejak Isnin lalu.

Kejadian yang dianggap luar biasa di Government College Veng Primary School itu, membabitkan tujuh pasangan kembar seiras dan satu pasangan kembar tidak seiras.

Bukan sahaja pelajar, guru juga sangat teruja mempunyai sebilangan kembar yang belajar di sekolah itu.

Menurut Guru Besar, H Lalventluanga, kemasukan lapan pasangan kembar itu sekali gus memecah rekod sekolah itu, yang sebelum ini pernah merekodkan pendaftaran empat pasangan kembar.

"Kami gembira untuk mengetahui semasa perbincangan kakitangan pagi ini bahawa kami mempunyai lapan pasangan kembar.

"Tahun lepas, kami hanya mempunyai empat pasangan (kembar) yang didaftarkan," katanya.

Berkongsi lanjut, Lalventluanga berkata, kesemua kembar itu berasal dari beberapa kawasan di Aizawl.

Menurutnya, terdapat keseimbangan jantina yang baik dalam kalangan kembar, dengan satu pasangan kembar persaudaraan, empat kembar perempuan dan tiga kembar lelaki.

"Kami mempunyai satu pasangan tidak seiras, lapan pasangan kembar perempuan, dan tiga pasangan lelaki yang belajar di sekolah kami," katanya.

Menariknya, salah satu pasangan kembar tidak seiras itu adalah anak kepada Lalventluanga.

Anak kembar kepada guru besar itu yang lelakinya bernama Remruatdika, dan yang perempuan, Lalzarzovi, akan berusia lima tahun pada 21 Julai ini .

Menurutnya lagi, satu sekolah lain di kawasan itu, yang terletak di Bethlehem, turut menerima kemasukan empat pasangan kembar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 12:52 PM