BENNY Gantz. FOTO Reuters
BENNY Gantz. FOTO Reuters
Agensi

Baitulmaqdis: Menteri Israel, Benny Gantz pada Sabtu berkata, beliau akan meletakkan jawatan daripada Kabinet Perang, melainkan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu meluluskan rancangan pascaperang untuk Semenanjung Gaza, lapor AFP.

"Kabinet Perang mesti merangka dan meluluskan selewat-lewatnya 8 Jun, satu pelan tindakan yang akan membawa kepada merealisasikan enam matlamat strategik kepentingan negara.. (atau) kita akan dipaksa untuk meletakkan jawatan daripada kerajaan," kata Gantz merujuk kepada partinya dalam ucapan di televisyen yang ditujukan kepada Netanyahu.

Gantz berkata, enam sasaran itu termasuk menjatuhkan Hamas, memastikan kawalan keselamatan Israel ke atas wilayah Palestin dan mengembalikan tebusan Israel.

"Seiring dengan mengekalkan kawalan keselamatan Israel, wujudkan pentadbiran Amerika (Syarikat), Eropah, Arab dan Palestin yang akan menguruskan hal ehwal awam di Semenanjung Gaza dan meletakkan asas untuk alternatif masa depan yang bukan Hamas atau (Mahmud) Abbas," katanya merujuk kepada Presiden Pihak Berkuasa Palestin.

Beliau juga menggesa normalisasi hubungan dengan Arab Saudi sebagai sebahagian daripada langkah keseluruhan yang akan mewujudkan pakatan untuk menentang Iran dan sekutunya.

Netanyahu bertindak balas terhadap ancaman Gantz pada Sabtu dengan menyelar tuntutan menteri berkenaan sebagai "kata-kata kotor yang maknanya jelas" iaitu "menamatkan perang, kekalahan bagi Israel, menyebabkan Hamas (masih ada atau tidak terjejas) dan penubuhan sebuah negara Palestin".

Tentera Israel sudah memerangi Hamas di seluruh Semenanjung Gaza selama lebih tujuh bulan.

Tetapi perpecahan besar muncul dalam Kabinet Perang Israel sejak beberapa hari kebelakangan ini, selepas pejuang Hamas berkumpul semula di utara Gaza, kawasan di mana Israel sebelum ini berkata kumpulan itu sudah dineutralkan.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan sekurang-kurangnya 35,386 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan berterusan Israel di Gaza sejak 7 Oktober tahun lepas, kata Kementerian Kesihatan di wilayah yang terkepung itu pada Sabtu.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata, 79,366 orang lagi cedera dalam serangan kejam tentera rejim, lapor Agensi Anadolu.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebahagian besar infrastruktur di wilayah terkepung itu rosak atau musnah lebih tujuh bulan sejak konflik tercetus menyebabkan 85 peratus penduduk di wilayah itu hilang tempat tinggal di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 12:18 PM