LEBIH 4,000 orang di Korea Selatan memohon untuk menyertai pertandingan itu, tahun ini. FOTO Newsis
LEBIH 4,000 orang di Korea Selatan memohon untuk menyertai pertandingan itu, tahun ini. FOTO Newsis
Agensi

Seoul: Lebih daripada 100 orang berkumpul secara senyap di atas tikar yoga untuk tidak melakukan apa-apa, dalam pertandingan Space-out di sini, baru-baru ini.

Ia menggabungkan cabaran fizikal, karya seni dan tempoh berehat untuk masyarakat Korea Selatan yang sangat kompetitif, lapor CNN.

Acara tahunan itu mencari siapa yang paling mahir untuk tidak melakukan apa-apa termasuk tidur, memeriksa telefon atau bercakap, selama 90 minit.

Kadar degupan jantung peserta dipantau, manakala penonton mengundi 10 peserta kegemaran mereka. Peserta yang mempunyai kadar denyutan jantung paling stabil diisytiharkan sebagai pemenang.

Antara yang mengambil bahagian ialah Kwak Yoon-gy, pemenang pingat perak berganda Olimpik dalam acara track speed skating.

"Saya mencuba untuk Sukan Olimpik lima kali dan tidak pernah berehat dengan betul semasa berlatih selama 30 tahun.

"Saya dengar tempat ini adalah tempat saya boleh mengosongkan fikiran dan berehat sekurang-kurangnya untuk tempoh ini, jadi saya datang ke sini dan inilah yang saya perlukan sangat," kata atlet track speed skating. Yoon-gy, 34, meraih tempat ketiga pada pertandingan Space-out itu.

Lebih 4,000 orang memohon untuk menyertai pertandingan berkenaan. Namun, hanya 117 orang terpilih menjadi peserta, yang terdiri daripada kanak-kanak gred dua hingga mereka yang berumur 60-an.

Bagi kebanyakan peserta, ia adalah satu cara untuk pulih daripada keletihan, serta daripada tekanan kerja dan pelajaran.

"Saya biasanya mempunyai banyak kebimbangan dan tekanan, jadi saya memohon untuk menyertai kerana saya fikir ia adalah baik untuk menghilangkan tekanan dan kebimbangan sedemikian dengan menjauhkan diri dalam pertandingan," kata YouTuber, Kim Seok, 26.

Acara tahun ini juga meraikan penganjuran tahun ke-10 pertandingan Space-out, yang diasaskan oleh artis visual, yang menggunakan nama samaran Woopsyang, selepas dia mengalami keletihan yang teruk.

Sejak pertandingan pertandingan Space-out yang pertama diadakan di Seoul pada 2014, ia sudah berkembang ke peringkat antarabangsa, dengan pertandingan berlangsung di bandar utama seperti Beijing, Rotterdam, Taipei, Hong Kong dan Tokyo.

Pertandingan di Seoul, tahun ini, dimenangi oleh juruhebah bebas, Kwon So-a, yang bekerja dalam pelbagai pekerjaan, dan membawa pulang trofi berbentuk arca Auguste Rodin The Thinker.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 11:56 AM