GONG juga gemar berlatih yoga dan minum teh bersama rakan-rakan di flat itu. FOTO Weibo
GONG juga gemar berlatih yoga dan minum teh bersama rakan-rakan di flat itu. FOTO Weibo
Agensi

Beijing: Seorang ibu di China membayar AS$69,000 (kira-kira RM329,647) untuk memiliki flat seluas 25 meter persegi sebagai 'tempat perlindungan' untuk dirinya sendiri, menarik empati netizen, lapor South China Morning Post.

Gong Yan, awal 30-an, dari bandar Changzhou di wilayah Jiangsu, timur China, ialah ibu kepada seorang anak lelaki yang sudah berkahwin.

Dia membelanjakan wang simpanannya untuk rumah kecil itu, di mana dia menikmati waktu bersendirian, dua hari seminggu.

Gong, yang menjalankan sebuah syarikat kewangan, mendapat idea untuk memiliki tempat sendiri semasa pandemik Covid-19 pada 2020 apabila dia berkongsi flat seluas 130 meter persegi dengan suami, anak lelaki dan ibu bapa mentuanya.

Pada masa yang mencabar itu, sambil dia memenuhi keperluan orang lain dalam pelbagai peranan sebagai isteri, ibu dan menantu. Perkara itu membuatkan dia berfikir mengenai apa yang dia mahukan untuk dirinya sendiri.

Dia membuat keputusan untuk memiliki ruang peribadi dengan membelanjakan wang simpanannya dengan membeli sebuah flat kecil pada 2021.

"Pada hari saya mengambil kunci, saya duduk di atas bangku di flat, memesan makanan bawa pulang dan melihat ke luar tingkap. Saya berasa sangat gembira," kata Gong.

Walaupun hanya 25 meter persegi, flat itu dilengkapi dengan bilik tidur, dapur, bilik mandi dan ruang simpanan.

Kemudian dia membelanjakan AS$28,000 (kira-kira RM133,000) untuk mengubah suai flat itu.

Foto menunjukkan bahagian dalam flat itu menampilkan konsep terbuka tetapi dibahagikan kepada ruang kecil untuk bekerja, membaca dan beriadah.

Gong juga gemar berlatih yoga dan minum teh bersama rakan-rakan di flat itu.

"Ini benar-benar rumah saya sendiri. Saya hanya boleh menjadi diri saya sendiri," katanya.

Mengambil satu atau dua hari seminggu dari kesibukan kerja dan kehidupan keluarga untuk berada di ruang sendiri, kini menjadi sebahagian daripada rutinnya dan baik untuk kesihatan mental Gong.

Keputusannya itu disokong oleh keluarganya. Suami dan anak lelakinya, yang tidak mempunyai kunci flat itu, hanya dialu-alukan dengan jemputan sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 12:27 PM