KERETA terperangkap dalam banjir di Dubai susulan hujan lebat luar biasa pada 18 April. FOTO Giuseppe CACACE /AFP
KERETA terperangkap dalam banjir di Dubai susulan hujan lebat luar biasa pada 18 April. FOTO Giuseppe CACACE /AFP
Agensi

Abu Dhabi: Jabatan Meteorologi Kebangsaan (NCM) Emiriyah Arab Bersatu (UAE) meminta orang ramai tidak mempercayai berita tular kononnya keadaan hujan lebat yang melanda negara itu adalah disebabkan pembenihan awan.

Gulf News melaporkan Pakar Meteorologi Kanan NCM Dr Habib Ahmed menegaskan tiada pembenihan awan dilakukan.

"Saya menggesa orang ramai supaya tidak percaya dengan artikel dan video yang menyebarkan maklumat salah.

"Jangan terpengaruh berita palsu. Bukan pembenihan awan yang menyebabkan hujan lebat di UAE.

"Tiada satu pun penerbangan dilakukan untuk pembenihan awan sepanjang tempoh ini," katanya.

Beliau berkata, NCM sedang menganalisis dengan teliti situasi cuaca di rantau ini, terutamanya di negara jiran, Arab Saudi dan Oman.

"Kami memantau keadaan dengan lebih awal. Yang pastinya, tiada pembenihan awan dilakukan," kata sekali lagi menggesa orang ramai supaya tidak mempercayai maklumat salah yang disebarkan oleh beberapa media dan akaun media sosial.

Terdahulu, pada 11 April lalu NCM mengeluarkan amaran mengenai cuaca buruk termasuk hujan, angin kencang, ribut debu, ribut petir dan hujan batu di seluruh negara.

Amaran NCM jelas menyatakan awan membawa hujan bermula dari bahagian barat negara itu akan bergerak ke seluruh negara mulai Ahad, menyebabkan hujan dengan intensiti berbeza.

"Keadaan cuaca sangat buruk di seluruh wilayah," jelas Dr Habib.

Katanya, terdapat tekanan rendah dari barat daya dan Oman, bergerak ke negara UAE.

"Pada masa sama, terdapat keadaan tekanan rendah yang mendalam di lapisan atas atmosfera di atas UAE.

"Selain itu udara lembap yang bergerak dari Laut Arab ke arah UAE dan Oman, sejak Ahad... Inilah yang menyebabkan cuaca tidak stabil di negara ini.

"Angin yang sangat kuat dan aliran turun menyebabkan awan sarat lembapan terbentuk di selatan Oman dan di Arab Saudi, namun tiba-tiba bergerak ke UAE.

"Ia datang dalam dua ombak yang sangat kuat pada Isnin dan Selasa menyebabkan hujan lebat serta ribut petir, keadaan ini seperti maklumat yang sudah analisis," katanya.

Menurutnya, keadaan cuaca dijangka stabil dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 3:05 PM