PENDUDUK berkumpul di jeti di pelabuhan di pulau Tagulandang di Sitaro, Sulawesi Utara yang mana Gunung Ruang dapat dilihat. FOTO AFP
PENDUDUK berkumpul di jeti di pelabuhan di pulau Tagulandang di Sitaro, Sulawesi Utara yang mana Gunung Ruang dapat dilihat. FOTO AFP
Agensi

Jakarta: Letusan gunung berapi Gunung Ruang di Kepulauan Sangihe, Sulawesi Utara sudah mulai mereda sejak awal pagi semalam.

Kompas melaporkan, namun, status gunung yang mempunyai ketinggian puncak 725 meter dari aras laut itu masih berada pada amaran tahap empat.

"Letusan yang direkodkan dari Gunung Ruang di Stesen Gunung Awu, Soputan, Tangkoko dan Mahawu mulai reda pada 18 April 2024 jam 2.50 pagi waktu Indonesia Tengah (WITA)," kata Ketua Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bencana Geologi (PVMBG) Agensi Geologi, Hendra Gunawan.

Dikatakan sehingga jam 6 pagi WITA, letusan itu belum direkodkan di stesen gunung.

Pada Rabu 17 April jam 8.39 malam WITA, stesen pemantau seismik di Pulau Ruang tidak menghantar data seismik, disyaki stesen berkenaan rosak akibat bahan letusan.

"Pemantauan visual semasa pada 18 April sehingga 12 tengah hari WITA, kita masih melihat letusan dalam bentuk asap putih berterusan hingga keperangan dengan intensiti yang agak lemah.

"Pun begitu, hasil pemantauan visual menunjukkan pada masa ini aktiviti gunung berapi Gunung Ruang masih tinggi," kata Hendra.

Potensi bahaya yang mungkin berlaku ialah letusan dan letupan menghasilkan batu yang dilontar (flare) ke semua arah yang boleh diikuti oleh awan panas atau letusan efusif (aliran lava).

"Berdasarkan hasil pemantauan visual dan instrumental, aktiviti gunung berapi Gunung Ruang masih tinggi, justeru tahap aktiviti Gunung Ruang kekal pada amaran Tahap IV," kata Hendra dalam rumusannya.

Terdahulu, Gunung Ruang mula meletus pada jam 9.45 malam waktu tempatan pada Selasa.

Ia mengeluarkan asap setinggi lebih 1.6 kilometer (km) sehingga memaksa ratusan penduduk dipindahkan dan kerajaan Indonesia meningkatkan amaran ke tahap tertinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 10:59 AM