Ruang udara di Lubnan dibuka semula.
Ruang udara di Lubnan dibuka semula.
AFP

Baghdad: Selepas beberapa jam ditutup selepas jirannya, Iran melancarkan serangan dron dan peluru berpandu terhadap Israel, Iraq membuka semula ruang udaranya hari ini.

Perkembangan itu diumumkan pihak berkuasa penerbangan negara itu.

Negara jiran kepada Iraq iaitu Jordan, Lubnan dan Israel turut membuka semula ruang udara mereka hari ini.

Pihak berkuasa penerbangan awam Iraq dalam satu kenyataan memaklumkan, pembukaan semula ruang udara dan penyambungan semula perkhidmatan penerbangan di lapangan terbang negara itu, mengambil kira penilaian risiko keselamatan terhadap pesawat penerbangan awam.

Media tempatan Kurdish di utara Iraq melaporkan, dron milik Iran dilihat berlegar-legar di wilayah autonomi Kurdish semalam.

Di Jordan, Ketua Suruhanjaya Penerbangan Awam, Haitham Misto, memberitahu saluran Al Mamlaka : "Ruang Udara Jordan sudah dibuka semula dan situasi kembali normal".

Ketua Pegawai Eksekutif Royal Jordanian. Samer Majali, berkata pesawat penerbangannya sudah menyambung kembali perkhidmatan tatkala menjangkakan akan berlaku beberapa kelewatan.

Di Lubnan, Menteri Pengangkutannya, Ali Hamie, berkata pihaknya sudah pun menyambung semula operasi penerbangan di negara itu sejak jam 7 pagi tadi.

Tambah beliau, pihaknya sedang memantau situasi semasa.

"Lapangan terbang antarabangsa di Beirut telah beroperasi semula," katanya.

Di Israel, pihak berkuasa lapangan terbangnya memaklumkan ruang udara yang ditutup sejak 12.30 tengah malam tadi susulan serangan dilancarkan Iran, dibuka semula pada jam 7.30 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 5:23 PM