KEPULAN asap yang kelihatan dalam kabin pesawat susulan letupan power bank. FOTO Ihsan Thairath
KEPULAN asap yang kelihatan dalam kabin pesawat susulan letupan power bank. FOTO Ihsan Thairath
Agensi

Bangkok: Letupan pengecas mudah alih (power bank) yang menyebabkan kebakaran kecil dalam penerbangan Thai AirAsia ke Nakhon Si Thammarat baru-baru ini mencetuskan panik dalam kalangan penumpang.

Portal Thaiger melaporkan Menteri Perindustrian Thailand, Pimphattra Wichaikul yang juga antara 186 penumpang dalam penerbangan itu, turut menyaksikan kejadian dengan asap memenuhi kabin.

Bagaimanapun, anak kapal berjaya memadamkan kebakaran dalam masa dua minit, dan pesawat mendarat dengan selamat seperti dijadualkan.

Pimphattra Wichaikul juga meluahkan kebimbangan susulan insiden itu kerana hampir semua membawa 'power bank' ke dalam pesawat ketika ini.

"Saya ingin menyeru syarikat penerbangan dan pegawai lapangan terbang untuk memeriksa 'power bank' yang dibawa penumpang.

"Pastikan peralatan itu mempunyai simbol Piawaian Perindustrian (TIS) untuk memastikan rintangan haba," katanya.

Insiden itu akan disiasat oleh Kementerian Pengajian Tinggi, Sains, Penyelidikan dan Inovasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 3:35 PM