KEADAAN bangunan itu selepas kebakaran berkenaan dipadamkan sepenuhnya. FOTO AFP
KEADAAN bangunan itu selepas kebakaran berkenaan dipadamkan sepenuhnya. FOTO AFP
AFP

Beijing: Sekurang-kurangnya 15 terbunuh dan 44 cedera dalam kebakaran di sebuah bangunan kediaman di Nanjing, timur China.

Pihak berkuasa tempatan berkata, kebakaran berlaku pada awal pagi Jumaat, dengan siasatan awal menunjukkan kebakaran bermula di tingkat satu bangunan, di mana basikal elektrik diletakkan.

Bangunan itu terletak di daerah Yuhuatai di Nanjing, sebuah bandar dengan lebih lapan juta penduduk yang terletak kira-kira 260 kilometer (km) di barat laut Shanghai.

Menjelang 6 pagi, api mulai dipadamkan, dan operasi mencari dan menyelamat ditamatkan kira-kira 2 petang Jumaat.

Sebanyak 25 trak bomba dikerah untuk memadam kebakaran, kata perkhidmatan kecemasan.

Rakaman yang tersebar di rangkaian sosial China menunjukkan bangunan pencakar langit terbakar pada tengah malam dan asap hitam.

Imej lain menunjukkan api merebak ke beberapa tingkat bangunan dan lampu kecemasan kenderaan menyala kelihatan berdekatan dalam gelap.

Menerusi rakaman lain, menunjukkan asap putih keluar dari beberapa tempat di dalam bangunan itu.

Mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan, termasuk seorang berada dalam keadaan kritikal dan seorang lagi parah.

Datuk Bandar Chen Zhichang dalam sidang media mengucapkan takziah dan memohon maaf kepada keluarga mangsa.

Kebakaran dan kemalangan maut adalah perkara biasa di China dan negara itu sudah menyaksikan siri kebakaran maut dalam beberapa bulan kebelakangan ini yang mana selalunya disebabkan oleh kecuaian.

Januari lalu, berpuluh-puluh maut selepas kebakaran berlaku di sebuah kedai di tengah bandar Xinyu, dengan agensi berita negara Xinhua melaporkan, kebakaran itu disebabkan oleh penggunaan api secara haram oleh pekerja di ruang bawah tanah kedai itu.

Kejadian itu berlaku hanya beberapa hari selepas kebakaran lewat petang di sebuah sekolah di wilayah Henan di tengah China, yang mengorbankan 13 pelajar sekolah ketika mereka tidur di asrama.

Sementara pada November, 26 orang terbunuh dan berpuluh-puluh dihantar ke hospital selepas kebakaran di pejabat syarikat arang batu di wilayah Shanxi, utara China.

Kemudian berlaku pula letupan di restoran barbeku di barat laut negara itu menyebabkan 31 maut.

Satu lagi insiden sama berlaku pada April, iaitu kebakaran hospital di Beijing membunuh 29 orang dan memaksa mangsa yang terselamat untuk melompat keluar dari tingkap untuk menyelamatkan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 9:29 AM