Kakitangan perubatan melintasi bangunan di Hospital Universiti Seoul. - FOTO AFP
Kakitangan perubatan melintasi bangunan di Hospital Universiti Seoul. - FOTO AFP
BERNAMA-YONHAP

Seoul: Pesakit di Korea Selatan menyatakan kekecewaan dan mengadu mengenai jadual rawatan yang tertangguh atau ditangguhkan pada Rabu apabila doktor pelatih hospital umum di Seoul dan tempat lain tidak bertugas buat hari kedua kerana membantah rancangan kerajaan untuk menaikkan kuota pendaftaran di sekolah perubatan.

Lebih 70 peratus atau 8,816, doktor pelatih hospital umum meletak jawatan beramai-ramai setakat ini sebagai membantah rancangan pembaharuan untuk menambah kuota kemasukan ke sekolah perubatan sebanyak 2,000 tempat tahun depan daripada 3,058 tempat semasa, lapor Agensi Berita Yonhap.

Daripada jumlah itu, 7,813 mengingkari arahan kerajaan supaya kembali bekerja pada Rabu.

Ketiadaan doktor muda itu mencetuskan kebimbangan mengenai perkhidmatan penjagaan kesihatan, apabila operasi bilik pembedahan dikurangkan kepada serendah 50 peratus di lima hospital terbesar di Seoul setakat ini, lapor Yonhap memetik sumber perubatan.

Pada Rabu, Kim seorang pesakit kanser saluran empedu berusia 38 tahun terpaksa berpindah ke pusat perubatan lain.

"Saya memerlukan rawatan lanjut kerana demam panas, tetapi saya disyorkan untuk berpindah ke hospital lain semalam," menurut Kim.

Jeon Kyu-sik, 50-an, seorang pesakit epilepsi berkata kira-kira separuh daripada bilik hospital kosong dan keadaan itu hampir sama dengan pengabaian dan pesakit akan mati jika tidak dibedah segera.

Seorang jururawat di sebuah hospital kanak-kanak memaklumkan kepada pesakit dan ibu bapa bahawa pada masa ini, semua perkhidmatan di hospital beliau bertugas terpaksa ditangguhkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 5:21 PM