CHEN Neng-chuan. FOTO Instagram SMALLVILLE780.
CHEN Neng-chuan. FOTO Instagram SMALLVILLE780.
Agensi

Phnom Penh: Seorang pempengaruh Taiwan ditahan selepas membuat kandungan di media sosial menunjukkan dia kononnya menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Kemboja, baru-baru ini, lapor Straits Times.

Chen Neng-chuan, terkenal menerusi videonya di Taiwan dan negara lain.

Sebelum ketibaannya di Kemboja, dia mendakwa akan meneroka 'sudut paling gelap dunia' yang mana ramai warga Taiwan menjadi mangsa penipuan dan menjadi hamba di negara itu.

Pada 12 Februari lalu, dia menjadi tajuk utama berita di Taiwan selepas menyiarkan secara langsung kononnya dia melarikan diri daripada sindiket penipuan di Kemboja.

Dalam penstriman langsung dibuat lelaki itu, dia menunjukkan dirinya kelihatan seperti dibelasah.

Penstriman itu kemudiannya 'terganggu' tiba-tiba dengan kehadiran seorang individu yang memakai seluar lusuh, lapor United Daily News Taiwan.

Keesokan harinya, isterinya memberitahu sambil menangis di media sosial bahawa suaminya, hilang.

Dia dan seorang lagi pencipta kandungan berkata, Chen berkeras ke Kemboja bersendirian untuk penggambaran.

Pada petang sama, Chen yang juga dikenali sebagai Goodnight Chicken kembali bersiaran langsung, menunjukkan sebahagian kepalanya dicukur dan pakaiannya koyak dan kotor.

"Saya berjaya melarikan diri daripada penculik bersenjata di Sihanoukville (Kemboja).

"Penculik mengikat saya pada kerusi ketika saya cuba masuk dalam bangunan tempat sindiket penipuan pekerjaan itu," katanya.

Bagaimanapun, selebriti Internet, Liu Yu berjaya menentukan lokasi sebenar Chen di Google Maps dan mendapati Chen kelihatan mengelilingi satu kawasan di tepi jalan dan bukannya melarikan diri seperti yang didakwanya.

Liu juga menyiarkan di Facebook, imej Chen sebelum penculikan yang didakwa dalam kenderaan dengan sehelai pakaian lusuh sama seperti yang dipakai salah seorang 'penculik' Chen. Pakaian itu didakwa disimpan di tempat duduk belakang kenderaan itu.

Dia juga mempersoalkan dakwaan Chen bahawa penculik menyamun wang berjumlah ribuan dolar Amerika Syarikat, namun tidak merampas peralatan kamera milik pempengaruh terbabit.

Menguatkan rekaan cerita lelaki itu, Polis Taiwan mengesakan keluarga Chen tidak membuat laporan polis, manakala Kementerian Luar juga memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang permohonan bantuan.

Susulan itu, Polis Kemboja menyiasat media sosial Chen dan rakan subahatnya, YouTuber Taiwan, Anow, sebelum membongkar dakwaan palsu mereka itu.

Gabenor Preah Sihanouk, Kuoch Chamroeun berkata, kedua-dua mereka akan dibicarakan di mahkamah dan mereka akan dihantar pulang selepas menjalani hukuman.

"Jika kita melepaskan mereka, akan ada lebih ramai orang membuat dakwaan palsu sama untuk mencemarkan imej Kemboja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 12:21 PM