PELANCONG bersiar-siar di Havana. FOTO fail AFP
PELANCONG bersiar-siar di Havana. FOTO fail AFP
Reuters

Havana: Seramai 30 Individu didakwa di Cuba kerana mencuri 133 tan daging ayam dan menjualnya di jalanan dalam rompakan besar yang jarang berlaku, ketika kekurangan makanan di negara itu.

Portal Voice of America (VOA) melaporkan pencuri mengambil daging itu dalam 1,660 kotak putih dari sebuah fasiliti di ibu negara, Havana, baru-baru ini.

Pencuri berkenaan kemudian menggunakan hasil jualan untuk membeli peti sejuk, komputer riba, televisyen dan penyaman udara, menurut siaran televisyen negara Cuba, Jumaat lalu.

Ayam dicuri itu sebenarnya diperuntukkan untuk sistem 'buku catuan' Cuba yang diperkenalkan selepas revolusi Fidel Castro pada 1959 untuk menyediakan makanan ruji bersubsidi untuk rakyat.

Pengarah pengedar makanan kerajaan, COPMAR, Rigoberto Mustelier berkata, kuantiti yang dicuri adalah bersamaan dengan catuan ayam sebulan untuk wilayah bersaiz sederhana pada kadar edaran semasa.

Jumlah ayam yang boleh didapati melalui buku catuan menurun secara mendadak dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerana krisis ekonomi menyebabkan kekurangan makanan, bahan api dan ubat-ubatan.

Banyak produk bersubsidi lewat sampai kepada penduduk, ada masanya beberapa hari, minggu atau bahkan berbulan lewat daripada yang dijadualkan.

Keadaan itu menyebabkan orang yang memperoleh gaji purata 4,209 peso (kira-kira RM837) sebulan terpaksa mencari cara lain untuk memenuhi keperluan hidup.

Pihak berkuasa tidak menyatakan tarikh kecurian itu tetapi menyatakan ia berkemungkinan berlaku antara tengah malam hingga 2 pagi, apabila mereka mengesan turun naik suhu di kemudahan tempat simpanan sejuk.

Kamera pengawasan menunjukkan trak yang mengangkut ayam itu keluar dari tapak berkenaan.

Tiga puluh pencuri yang didakwa termasuk bos syif dan pekerja teknologi maklumat di kilang itu, serta pengawal keselamatan dan orang luar yang tidak mempunyai kaitan langsung dengan syarikat itu.

Suspek, jika didapati bersalah, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 12:58 PM