Sebahagian pelarian Rohingya yang tiba di Lapang Barat, Aceh. - FOTO AFP
Sebahagian pelarian Rohingya yang tiba di Lapang Barat, Aceh. - FOTO AFP
AFP

Jakarta: Sebelum ini kehadiran minoriti Rohingya di bumi Aceh dialu-alukan dengan ramai penduduk tempatan bersimpati kerana sejarah panjang perang yang mereka lalui.

Namun, gelombang lebih daripada 1,500 pelarian dalam beberapa bulan kebelakangan ini memberi 'rasa' berbeza buat penduduk tempatan.

Video anti-Rohingya yang tersebar sejak akhir tahun lalu di media sosial Indonesia meraih lebih 90 juta tontonan di TikTok hanya pada November.

Sebaran berita itu, baik yang benar atau sebaliknya, menyemarakkan sentimen anti-Rohingya di Indonesia, dengan kerajaan berdepan tekanan hebat untuk segera mengusir mereka.

Menurut penganalisis TikTok di Bandung Fe Institute, Hokky Situngkir, ia bermula selepas beberapa media tempatan melaporkan ketibaan Rohingya dengan tajuk sensasi.

Laporan-laporan itu menggambarkan kebanyakan umat Islam Rohingya sebagai penjenayah dengan sikap buruk, dengan pemimpin masyarakat Indonesia mengukuhkan naratif itu.

Beberapa pengguna TikTok berkongsi semula artikel dan video sensasi, yang kemudiannya membantu menjana lebih banyak tontonan dan pulangan wang.

"Kadang-kadang apabila ia terlalu sensasi dan besar, ia ditokok tambah menjadi maklumat salah," kata Situngkir kepada AFP.

Pada Disember, ratusan pelajar universiti memasuki dewan majlis kerajaan di Banda Aceh yang menempatkan kira-kira 137 etnik Rohingya dengan menjerit, menendang barang-barang pelarian dan menuntut mereka dihantar pulang.

Pelarian itu kemudiannya dipindahkan Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).

"Serangan itu bukan tindakan terpencil tetapi hasil daripada kempen dalam talian yang diselaraskan dengan maklumat salah, maklumat tidak betul dan ucapan kebencian," kata UNHCR.

Di TikTok, komen daripada puluhan akaun UNHCR palsu membanjiri video Rohingya.

Sementara itu, penganalisis untuk pemantau media sosial, Drone Emprit, Ismail Fahmi, memberitahu AFP, naratif itu 'nampak selaras' tetapi disampaikan seolah-olah 'berlaku secara semulajadi'.

Katanya, kempen itu bermula dengan siaran daripada akaun tanpa nama, dan kemudian beberapa pengguna dengan pengikut yang ramai membalas dengan mesej anti-Rohingya, menjadikan naratif itu kelihatan menjadi ikutan.

Beberapa video yang paling banyak ditonton menjaja maklumat salah menunjukkan bot sesak yang mendakwa ia bot membawa Rohingya ke Indonesia.

Rakaman itu, yang ditonton berjuta kali di TikTok, sebenarnya penumpang feri di laluan domestik Bangladesh, menurut siasatan Semakan Fakta AFP.

Video itu dimuat naik di TikTok dan platform video Snack, kemudian disiarkan semula di laman media sosial lain seperti Facebook dan oleh saluran media tempatan dengan jutaan pengikut meningkatkan jangkauan maklumat salah, hasil pemantauan pasukan Semak Fakta AFP.

AFP bersama lebih daripada 100 pertubuhan pemeriksa fakta, dibayar oleh TikTok dan pemilik induknya, Facebook Meta untuk mengesahkan video yang berpotensi mengandungi maklumat palsu.

Setakat ini, kedua-dua platform itu menolak permintaan AFP untuk menjawab pertanyaan.

Bagi sesetengah orang di Aceh, perasaan anti-Rohingya berpunca daripada kekecewaan kerana kurangnya usaha kerajaan bagi menanganinya.

Namun, ada yang mempersoalkan kesahihan video berikutan ada berpendapat dengan teknologi sekarang, mungkin terdapat kecerdasan buatan (AI) atau robot digunakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2024 @ 3:50 PM