TRIPATHI menunjukkan kasut baru dibelinya yang koyak. FOTO agensi
TRIPATHI menunjukkan kasut baru dibelinya yang koyak. FOTO agensi
Agensi

New Delhi: Seorang lelaki di India memfailkan tuntutan terhadap pemilik kedai kerana menjual kasut tidak berkualiti sehingga menyebabkan dia tidak dapat hadir majlis perkahwinan ahli keluarganya serta mengalami tekanan.

Dalam tuntutannya, Gyanendra Bhan Tripathi dari Fatehpur, Uttar Pradesh mendakwa, dia membeli kasut itu dari kedai Salman Hussain pada 21 November tahun lalu.

Katanya, pemilik kedai itu memberitahu, kasut itu daripada jenama terkenal dengan memberikan jaminan selama enam bulan.

"Tetapi kasut itu koyak dalam tempoh enam hari menyebabkan saya tak dapat hadir ke majlis perkahwinan abang ipar.

"Keadaan ini menyebabkan saya alami tekanan mental dan terpaksa menjalani rawatan di hospital swasta," katanya.

Dia menghantar notis tuntutan kepada pemilik kedai itu pada 19 Januari.

Tripathi yang juga seorang peguam menuntut, 10,000 rupee (RM570.12) yang dibelanjakannya untuk rawatan serta 2,100 rupee (RM119.73) (pendaftaran) dan 1,200 rupee (RM68.41) bagi ganti rugi kasut yang dibelinya.

Tripathi turut mengancam akan memfailkan kes terhadap pekedai itu sekiranya gagal membayar pampasan.

Sementara itu, pemilik kedai Salman Hussain mengesahkan, Tripathi membeli kasut itu dari kedainya.

Bagaimanapun, dia menafikan dakwaan dia berbohong mengenai kasut itu daripada jenama terkenal.

"Tripathi membeli kasut itu pada diskaun 50 peratus.

"Jaminan diberikan untuk tapak kasut itu tidak akan rosak dalam tempoh enam bulan tetapi tiada apa yang berlaku.

"Mereka menekan saya secara paksa dan semua dakwaan mereka tidak berasas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 3:16 PM